‘Dr M, Guan Eng tak campur tangan lantikan Petron sebagai pembekal’

Kerajaan persekutuan tidak membayar sebarang kos dalam pelantikan Petron.

KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan berkata, Petron Fuel International Sdn Bhd (Petron) dilantik sebagai pembekal bahan api untuk kenderaan kerajaan tahun ini tanpa campur tangan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Lim Guan Eng, selepas rundingan selama 2 tahun.

“Petron telah membuat permohonannya pada 2016 dan Disember 2017, syarikat tersebut telah bersetuju memberikan kerajaan persekutuan penjimatan kecil melalui program kad indennya,” kata Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan hari ini.

“Rundingan yang bermula di bawah pimpinan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak menunjukkan kerajaan terdahulu tiada halangan menimbang permohonan Petron dan kerajaan persekutuan terbaru hanyalah meneruskan proses dalaman mengikut panduan jelas sedia ada.

“Kebenaran ke atas permohonan Petron juga tidak memakan apa-apa kos kepada kerajaan persekutuan dan proses dalaman ini tidak memerlukan kebenaran menteri kewangan. Pelantikan ke dalam panel ini adalah telus dan tidak berkaitan mana-mana individu yang terlibat dalam politik.”

Kementerian Kewangan membuat penjelasan itu selepas Najib dan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mempersoalkan pelantikan syarikat milik anak perdana menteri, Tan Sri Mirzan Mahathir, minggu lalu.

Najib dilaporkan berkata, pelantikan itu boleh menimbulkan konflik moral, terutamanya berhubung pemilikan syarikat tersebut dan mengapa kerajaan tidak menggunakan perkhidmatan Petroleum Nasional Berhad (Petronas) sebagai pembekal minyak petrol dan diesel kenderaan kerajaan.

Petron Malaysia Refining & Marketing Bhd pada Jun 2013 mengesahkan anak perdana menteri, Tan Sri Mirzan Mahathir adalah ahli lembaga pengarah syarikat induknya, Petron Corporation Filipina, tetapi menafikan beliau mempunyai sebarang saham atau peranan dalam operasi syarikat itu di Malaysia.

Hari ini, Kementerian Kewangan berkata, selain Shell, Petronas dan Petron, syarikat minyak lain juga boleh memohon menyertai panel pembekal bahan api bagi kenderaan kerajaan.

“Kementerian Kewangan mengalu-alukan permohonan daripada pembekal lain bagi menambahkan pilihan dan penjimatan untuk kerajaan persekutuan, serta meningkatkan persaingan di pasaran.

“Buat masa ini, tiada permohonan telah diterima oleh Kementerian Kewangan daripada mana-mana syarikat pembekal bahan api yang lain.

“Sebagai bekas menteri kewangan, Najib sepatutnya tahu BHP dan Caltex boleh memohon untuk menjadi ahli panel sekiranya mereka berminat. Pihak Kementerian Kewangan akan memproses sebarang permintaan berdasarkan garis panduan yang terpakai ke atas Petronas, Shell dan Petron.”