Fuziah sindir Haniza belum layak bertanding peringkat nasional

Fuziah Salleh memilih ‘kem Rafizi’ kerana bekas ahli parlimen Pandan itu boleh menjunjung idealisme reformasi yang asal.

KUALA LUMPUR: Calon yang bertanding jawatan ketua Wanita PKR, Fuziah Salleh menyindir pencabarnya, Haniza Talha yang disifatkannya perlu berada di peringkat nasional, dan bukannya di peringkat negeri.

Sindiran Fuziah merujuk kepada Adun Lembah Jaya itu yang juga exco Perumahan dan Kehidupan Bandar di Selangor.

Fuziah berkata, sebelum ini Haniza merupakan setiausahanya semasa penubuhan awal sayap Wanita PKR. Pencapaian Adun Lembah Jaya itu sehingga kini juga atas didikannya dan beliau berbangga dengan pencapaian itu.

Bagaimanapun, ahli parlimen Kuantan itu berkata untuk menjadi ketua Wanita PKR, Haniza memerlukan lebih pengalaman dan kemampuan.

“Anda nak jadi ketua Wanita PKR dalam keadaan Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan dan PKR merupakan parti yang terbesar dalam PH.

“Jadi ketua Wanita PKR perlu di peringkat Parlimen, perlu di peringkat nasional, dan bukannya di peringkat negeri,” katanya menerusi satu wawancara bersama FMT.

Dalam pemilihan PKR kali ini, Fuziah akan ditentang oleh Haniza.

Seramai 800,000 ahli PKR akan mengundi pada pemilihan parti itu yang dijadualkan berlangsung dari 14 September hingga 13 Oktober depan.

Mengulas lanjut, timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata beliau tidak kisah sama ada menang atau kalah dalam pertandingan merebut jawatan itu kerana ia bukan perkara utama baginya.

“Yang penting, saya menawarkan sesuatu untuk Wanita selepas 10 tahun saya tinggalkan (jawatan ketua) Wanita.

“Ketika itu, saya merasakan Wanita harus masuk ke dalam arus perdana parti, kalau saya tak bergerak dari jawatan ketua Wanita maka saya sama seperti Wanita Umno. Wanita tak boleh pergi ke mana-mana, duduk dalam sayap Wanita sampai ke tua,” katanya.

Apa yang beliau tawarkan adalah untuk memperkukuhkan kembali Wanita PKR dan mahu menarik golongan profesional selepas PH memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lalu.

“Dalam kita menjadi kerajaan, kita perlu menarik golongan profesional, perlu menarik golongan muda sebab Wanita PKR merupakan parti terbesar dalam PH, bukan sahaja menjadi pemimpin kepada Wanita PKR tetapi menjadi pemimpin dalam PH dan seterusnya menjadi model kepimpinan wanita Malaysia.

“Wanita Malaysia mengharapkan sesuatu daripada Wanita PKR. Saya yakin kita harus berada di peringkat Parlimen, bukan di peringkat DUN untuk menjadi pemimpin Wanita yang boleh wanita lihat sebagai pemimpin dalam negara,” katanya.

Pilih ‘kem Rafizi’ berbanding ‘kem Azmin’

Fuziah turut memberikan sebab mengapa beliau memilih dan menyokong Naib Presiden PKR Rafizi Ramli secara terbuka untuk jawatan timbalan presiden menentang penyandang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Fuziah berkata, beliau melihat bekas ahli parlimen Pandan itu boleh menjunjung idealisme reformasi yang asal.

“Dalam parti saya pegang banyak jawatan…pernah jadi naib presiden, ketua Wanita, pengarah pilihan raya dan sebagainya. Tapi selaku pengarah latihan saya merangka satu modul latihan bersama politik nilai sebab inilah idealisme saya, politik nilai dan kita juga jangan terbawa politik ala ‘old school’, ‘feudal’.

“Sebab itu saya komited nak memastikan politik yang saya ceburi, parti yang saya bina sentiasa berada di atas landasan agenda reformasi yang asal,” katanya.

Berbanding “kem Azmin”, Fuziah berkata timbalan presiden PKR itu tidak mampu untuk mengumpulkan pemimpin yang sama-sama untuk menjunjung idealisme yang asal.

“Daripada pengamatan saya, banyak di sekeliling beliau yang tertarik padanya menunjukkan ciri-ciri politik feudal.

“Itu menyebabkan saya antara ahli Kabinet yang menyatakan sokongan secara terbuka (kepada Rafizi).”