Hishammuddin mungkin dipanggil dalam kes bekas ketua ME10, kata peguam

Nama Hishamuddin Hussein disebut sebagai orang yang mungkin disiasat oleh SPRM berkaitan isu Hasanah dan 7 pegawai ME10 lain.

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipercayai akan memanggil bekas menteri pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dalam siasatan kes membabitkan Datuk Hasanah Abdul Hamid.

Perkara berkenaan dimaklumkan peguam Hasanah, Datuk Shaharuddin Ali sewaktu mendengar keterangan lanjut timbalan pendakwa raya mewakil SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini.

“Yang memeranjatkan ada 2 perkara, nama Datuk Seri Hishamuddin Hussein disebut sebagai orang yang mungkin disiasat oleh SPRM berkaitan isu Hasanah, dan 7 pegawai ME10 lain.

“Mereka juga katakan mereka mungkin menemu duga Hishamuddin tidak lama lagi,” katanya sewaktu ditemui pemberita selepas mendengar keputusan permohonan tambahan reman, hari ini.

Terdahulu, majistret menolak permohonan tambahan reman selama 7 hari terhadap Hasanah sebaliknya hanya membenarkan bekas ketua pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) dilanjutkan reman sehingga esok.

“Ini sebab kenapa SPRM memohon tempoh lanjutan reman 7 hari, mereka memberikan 9 alasan antaranya SPRM hendak mengesan baki jumlah wang sebanyak RM4.4 juta yang belum dikesan.

“Mereka hendak mengesan beberapa jam tangan Omega dan jam tangan lain yang masih belum dikesan, ada juga isu bahawa SPRM ingin membawa pulang 3 orang yang dipercayai terlibat dalam kes ini dari Abu Dhabi,” katanya.

Bahkan, dalam tempoh 7 hari suruhanjaya itu ingin mengetahui pergerakan keluar masuk Hasanah di dalam negara dan berhasrat untuk menggeledah rumahnya.

“SPRM juga mengatakan ingin mengesan 2 putera diraja dari Arab Saudi yang dikaitkan dalam kes ini. Namun saya tidak tahu bagaimanakah ia akan dilakukan,” katanya.

Terdahulu, bekas ketua risikan itu ditahan reman pada Selasa lalu atas dakwaan menyeleweng dana pilihan raya umum ke-14. Hasanah kini disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 kerana salah guna kuasa.

Menurut Shaharuddin, Hasanah dalam kenyataannya di mahkamah secara ringkas menjelaskan bahawa beliau menjalankan tugas dibawa perintah dan arahan kerajaan Malaysia.

“Hasanah menafikan bahawa Hishammuddin dan 2 putera dari Arab Saudi terlibat dengan apa juga cara dalam kes ini dan urusan yang dilakukannya adalah sebagai ketua pengarah perkhidmatan sulit Malaysia,” katanya.

Siasatan awal SPRM mendapati Hasanah dipercayai terbabit menyalahgunakan dana pilihan raya untuk tujuan peribadi, bersama 7 pegawai lain di Jabatan Perdana Menteri.

Seorang timbalan ketua pengarah jabatan bergelar “Datuk” bersama 6 pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) yang direman sejak 28 Ogos lalu untuk membantu siasatan kes penyelewengan dana itu, dibebaskan.

Hasanah menjadi tumpuan media selepas terdedah surat beliau bertarikh 4 Mei lalu kepada Pengarah Agensi Risikan Pusat (CIA), Gina Haspel meminta Amerika Syarikat menyokong pentadbiran bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak, jika Barisan Nasional memenangi pilihan raya 9 Mei lepas.