Media: Umno tidak perlukan Anwar, kata Annuar Musa

Annuar berkata kekuatan Umno terletak pada komitmen setia orang Melayu.

PETALING JAYA: Umno tidak akan bekerjasama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim jika beliau dilantik sebagai perdana menteri, kata setiausaha agung parti itu Tan Sri Annuar Musa.

Malay Mail (MMO) melaporkan, Annuar yang bercakap pada perhimpunan “Melayu Bangkit” di Pasir Salak malam tadi berkata, pemimpin PKR itulah yang akan memerlukan sokongan Umno untuk mencapai tujuan politiknya suatu hari nanti.

“Anwar berkata dia tidak perlukan Umno, tetapi realitinya Umno tidak pernah perlukannya. Tetapi masanya akan tiba apabila beliau akan perlukan Umno.

“Umno belum mati lagi. Malah ia nampak lebih kuat sebab tidak bergantung kepada mana-mana individu atau pemimpin,” Annuar dilaporkan berkata.

Baru-baru ini media melaporkan Anwar akan menolak sebarang kerjasama dengan Umno sekiranya dilantik sebagai pengganti Tun Dr Mahathir Mohamad.

MMO melaporkan Anwar kemudiannya berkata kenyataan beliau tentang Umno disalahtafsirkan.

Annuar berkata kekuatan Umno terletak pada komitmen setia orang Melayu.

“Perhimpunan hari ini adalah contoh jelas. Orang mendakwa Umno menarik orang ramai dengan rasuah tetapi hari ini Umno bukan lagi kerajaan, tetapi ribuan orang berkumpul. Di sini letaknya kekuatan kita,” kata Annuar lagi.

Annuar berkata, Umno tidak akan menjadi parti perkauman jika hak orang Melayu tidak dipersoal atau dicabar.

“Kebanyakan orang kaya di Malaysia merupakan orang Cina atau India. Kita tidak pernah bertanya kenapa mereka kaya.

“Orang Melayu bersedia menjadi petani atau melakukan kerja lain selagi hak dan kepentingan mereka tidak diancam,” katanya lagi, lapor MMO.