Menteri: Cukai RM16 bilion tetap hilang tak kira guna sistem apa

Lim Guan Eng mempersoalkan Najib Razak mengapa beliau membenarkan RM16 bilion cukai tidak dibayar itu, tidak dikembalikan kepada 1.65 juta pembayar cukai dalam masa ditetapkan mengikut undang-undang.

PUTRAJAYA: Sebanyak RM16 bilion cukai yang tidak dibayar balik tetap hilang daripada Tabung Bayaran Balik Cukai (TBBC) sama ada kerajaan menggunakan sistem perakaunan tunai terubah atau sistem akruan, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Beliau berkata, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang disahkan Jabatan Akauntan Negara yang turut menggunakan sistem perakaunan tunai terubah, menunjukkan baki kredit yang belum dibayar balik kepada pembayar cukai berjumlah RM16.046 bilion setakat 31 Mei lalu.

“Keadaan begitu serius apabila ketua pengarah LHDN menulis surat secara rasmi kepada bekas ketua setiausaha perbendaharaan, Tan Sri Irwan Serigar Abdullah pada 2016 untuk meminta lebih banyak wang dipindahkan daripada Akaun Wang Yang Disatukan kepada TBBC, tetapi tidak diambil peduli olehnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, seramai 1.65 juta individu dan syarikat tidak menerima bayaran balik cukai berjumlah RM16 bilion lebih 6 tahun lalu.

Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga bekas menteri kewangan, menerusi catatan di Facebooknya semalam berkata, Lim tidak memahami kerajaan menggunakan sistem perakaunan tunai terubah dan bukan standard perakaunan akruan sebagaimana digunakan sektor swasta.

Menurut Najib, Lim membuat kesimpulan salah kononnya kerajaan Barisan Nasional (BN) tersalah lapor cukai belum dikembalikan sebagai pendapatan dan menuduh kerajaan BN memalsukan akaun.

Lim berkata, tunggakan besar RM16 bilion sehingga lebih 6 tahun itu berlaku kerana Jawatankuasa Pengurusan Wang Tunai Kementerian Kewangan yang bermesyuarat secara bulanan dan dipengerusikan Irwan Serigar, tidak memindahkan peruntukan mencukupi kepada TBBC seperti dipohon LHDN.

“TBBC adalah akaun amanah yang ditubuhkan di bawah Seksyen 111B Akta Cukai Pendapatan 1967, bagi tujuan penyaluran peruntukan daripada Akaun Wang Yang Disatukan, untuk pembayaran balik cukai.

“Perlu ditegaskan di bawah Seksyen 111B (2) Akta Cukai Pendapatan 1967, hanya menteri kewangan mempunyai kuasa untuk membuat keputusan berkenaan jumlah peruntukan yang disalurkan daripada Akaun Wang Yang Disatukan ke TBBC.”

Lim berkata, soalan penting yang harus dijawab Najib ialah mengapa beliau membenarkan RM16 bilion cukai tidak dibayar itu, tidak dikembalikan kepada 1.65 juta pembayar cukai dalam masa ditetapkan mengikut undang-undang.

“Bukan sahaja pihak polis yang kini menjalankan siasatan ‘pecah amanah’ di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan berminat terhadap perkara ini, tetapi rakyat juga ingin tahu jawapan kepada perkara berkepentingan awam ini.”