PATI warga Vietnam guna cop palsu Imigresen antara 74 ditahan

Bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, Jabatan Imigresen Perak melaksanakan 340 operasi dan menahan 1,249 PATI serta 33 majikan. (Gambar Bernama)

IPOH: Seorang lelaki warga Vietnam disyaki menggunakan cop palsu Jabatan Imigresen antara 74 pendatang tanpa izin (PATI) ditahan dalam Op Mega 3.0 di bandar raya ini semalam.

Pengarah Imigresen Perak Kamalludin Ismail berkata lelaki berumur 42 tahun itu dipercayai melakukan perkara tersebut untuk tinggal lebih masa di negara ini.

“Kita akan siasat lebih lanjut sindiket mana terlibat, dia menggunakan cop palsu Jabatan Imigresen Johor di Johor Bahru untuk keluar (Malaysia) tapi sebenarnya dia tidak keluar,” katanya dalam sidang media di kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini selepas operasi itu, malam tadi.

Beliau berkata dalam operasi dari 11.20 pagi hingga 7.40 malam itu yang dijalankan di 3 tapak pembinaan, 74 PATI yang ditahan terdiri daripada warganegara Bangladesh, Vietnam, Myanmar dan Indonesia yang berumur di antara 20 hingga 50 tahun.

Kamalludin berkata bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, Jabatan Imigresen Perak melaksanakan 340 operasi dan menahan 1,249 PATI dan 33 majikan.