Pemimpin muda jangan ambil jalan mudah jadi PM, pesan naib presiden PKR

Xavier Jayakumar memberi contoh pemimpin berpengalaman yang sudah diuji adalah Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin.

PETALING JAYA: PKR memerlukan pemimpin berpengalaman untuk memperkukuhkan parti, bukannya pemimpin muda yang mahu mengambil jalan mudah menjadi perdana menteri, kata Dr Xavier Jayakumar.

Beliau yang akan mempertahankan jawatan naib presiden dalam pemilihan parti tahun ini berkata, PKR memerlukan pemimpin yang serasi dengan Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan diangkat sebagai perdana menteri ke-8.

“Orang muda ini masih ada masa lagi, (kenapa) cepat sangat hendak jadi perdana menteri? Sebab itu kena ada pemimpin yang hendak bekerja untuk tentukan PKR mampu memerintah 5 penggal lagi, bukannya 5 tahun ini sahaja.

“Orang yang sudah diuji, ada rekod iaitu Datuk Seri Azmin Ali, Zuraida Kamaruddin. Jadi, saya minta kerjasama semua,” katanya sewaktu berucap di Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Cabang Perdana Selangor, di Dewan Sivik MBPJ, hari ini.

Dalam pemilihan PKR tahun ini, Azmin yang dalam misi mempertahankan jawatan timbalan presiden disandangnya sejak 2010, akan dicabar bekas ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli.

Timbalan presiden ialah pemimpin ke-2 tertinggi dalam sesebuah parti, selepas jawatan presiden.

Sementara itu, Xavier mendakwa ada di kalangan ahli yang mempertikaikan dan mula menolak Anwar sebagai perdana menteri, selepas Pakatan Harapan berjaya menawan Putrajaya pada pilihan raya umum ke-14, Mei lalu.

“Sekarang ada orang kata separuh (ahli) yang tidak mahu dia jadi perdana menteri.

“Saya akan pertahankan (Anwar). Walau apa cara sekalipun, saya akan duduk dalam parti, menang atau kalah, saya akan ada dalam parti,” kata menteri air, tanah dan sumber asli itu.

Seramai 800,000 ahli PKR dijangka mengundi dalam pemilihan parti itu yang dijadualkan bermula 14 September hingga 13 Oktober ini di 218 bahagian di seluruh negara.

Pengundian ditetapkan 14 September ini di Kelantan dan Terengganu; 15 September di Negeri Sembilan, Melaka dan Pahang; 17 September di Kuala Lumpur; 22 September di Pulau Pinang dan Kedah; 23 September di Selangor; 29 September di Johor; 30 September di Perak dan Perlis; 6 Oktober di Sarawak dan 13 Oktober di Sabah.

Keputusan rasmi akan diumumkan pada Kongres Kebangsaan PKR pada 16 November nanti.