Pengurus bangunan salahkan kerajaan lama atas keadaan ‘teruk’ Carcosa

Cucu Gerald Templer, yang turut bernama Gerald, di luar Carcosa Seri Negara yang pernah menjadi kediaman datuknya.

KUALA LUMPUR: Syarikat yang menguruskan Carcosa Seri Negara, di mana perjanjian kemerdekaan negara ditandatangani, mendakwa kerajaan terdahulu tidak memelihara bangunan bersejarah itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Asian Heritage Museum, KK Tan berkata, beliau terkejut melihat keadaan bangunan itu ketika mereka mengambil alihnya tahun lalu.

Katanya, wang perlu dibelanjakan untuk memelihara Carcosa, di mana perjanjian merdeka ditandatangani.

“Bagaimana kerajaan membiarkan tempat ini dalam keadaan teruk? Mengapa mereka sanggup berbuat demikian?” katanya selepas menyambut ketibaan cucu pegawai penjajah British, Gerald Templer.

Templer ialah Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu dari 1952 hingga 1954 serta pernah tinggal di bangunan itu.

Tan berkata, Carcosa ialah sebahagian daripada jiwa negara dan wang perlu dibelanjakan untuk memeliharanya.

Beliau menganggarkan RM20 juta diperlukan untuk membaik pulih bangunan itu dan berharap kerajaan baru akan menyokong usaha mereka.