PRK Seri Setia: Halimey nafi guna jentera kerajaan dalam kempen

Halimey mengakui Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah memberi barangan atau sumbangan kepada penduduk DUN Seri Setia.

PETALING JAYA: Calon Pakatan Harapan (PH) Halimey Abu Bakar menafikan dakwaan bahawa beliau menggunakan jentera kerajaan negeri Selangor untuk berkempen dalam pilihan raya kecil (PRK) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia.

Halimey turut menegaskan beliau tidak memberi sebarang sumbangan atau barangan kepada sesiapa.

“Saya tidak beri barang apa-apa pun. Boleh ‘check’. Saya juga tidak lakukan penyerahan barang kepada sesiapa,” katanya dalam sidang media hariannya di Pangsapuri Seri Jati, di sini, hari ini.

Calon PH itu mengulas kenyataan calon PAS Dr Halimah Ali menerusi laporan sebuah portal berita tempatan, yang mendakwa beliau sendiri melihat jentera kerajaan negeri digunakan bagi kempen Halimey di kawasan PJS 6 dan Desa Mentari, semalam.

Mengulas lanjut, Halimey mengakui Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah ada memberi barangan atau sumbangan kepada penduduk DUN Seri Setia.

“Kalau Maria Chin memang ada beri tetapi beliau tiada masalah sebab beliau memegang jawatan sebagai Ahli Parlimen. Saya sebagai calon yang tidak dibenarkan beri barang,” tambahnya.

Halimey berdepan pertandingan satu lawan satu menentang Dr Halimah pada 8 Sept ini dalam PRK itu yang diadakan susulan kematian penyandangnya, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin akibat kanser usus, 2 Ogos lepas.