‘Selain Kelantan, tanah adat Orang Asli di Pahang, Perak juga diceroboh’

Yusri Ahon antara pemimpin yang lantang memperjuangkan hak Orang Asli.

PETALING JAYA: Orang Asli di Pahang dan Perak turut berdepan isu pencerobohan tanah adat akibat aktiviti pembalakan dan pertanian seperti di Kelantan, kata Jaringan Orang Asal SeMalaysia (JOAS).

Presidennya, Yusri Ahon berkata, tanah adat Orang Asli di Perak diceroboh akibat kegiatan pembalakan, perlombongan, perhutanan dan pembinaan empangan hidroelektrik.

“Dalam 2-3 tahun ini, paling hangat ialah isu empangan (hidroelektrik mini) di Gopeng, pengusiran Orang Asli di Kampung Batu 8 Changkat Jering dan Kampung Chang, Bidor…isu pembalakan di Pos Piah (Sungai Siput),” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, aktiviti pembalakan turut berleluasa di Pahang.

“Nasib sama berlaku kepada masyarakat Orang Asli di Pahang seperti mana di Kelantan, tapi di Pahang kami tak buat tindakan agresif macam di Kelantan.

“Tetapi, dari segi perjuangan kami dalam tuntutan untuk dapatkan tanah adat dan menentang aktiviti pembalakan sama macam di Kelantan.

“Kami harap kerajaan pusat ambil perhatian juga kepada Orang Asli di Pahang dan tidak tertumpu kepada Kelantan sahaja.”

Beliau berkata, jumlah Orang Asli di Pahang mencecah 60,000 orang dengan kebanyakan mereka tertumpu di daerah Kuala Krau, Cameron Highlands, Raub dan Rompin.

Pada 16 Ogos lalu, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Harun berkata, pihaknya dalam proses mewartakan tanah adat Orang Asli di seluruh negara bagi menjamin hak golongan itu terhadap pemilikan tanah terpelihara.

“Pengertian tanah adat itu perlu didefinisi semula dengan mengambil kira aspek undang-undang, memandangkan tidak semua negeri mengiktiraf tanah adat Orang Asli yang menyukarkan pewartaan menyeluruh dapat dibuat.

“Langkah ini akan disegerakan bagi memastikan ketidakadilan seperti yang terjadi kepada Orang Asli di Gua Musang, Kelantan dapat diselesaikan sebaik mungkin.”

Yusri berkata, pihaknya tidak menolak akan bertindak lebih agresif, jika kawasan tanah adat mereka terus diceroboh sehingga menjejaskan kehidupan harian komuniti itu.

“Kalau nasib kami diabaikan, kami akan buat ‘blockade’ seperti di Kelantan.

“Disebabkan aktiviti pembalakan ini, kami sukar nak dapatkan hasil hutan, hasil sungai, minuman kami berkelodak, mereka membalak habis botak hutan.”

Lebih 300 penguat kuasa dari Jabatan Perhutanan Kelantan serta Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri bersama anggota polis menyertai operasi merobohkan 3 sekatan di Kampung Cawas, Kuala Wok Wok dan Kaleg di Gua Musang, pada 27 Ogos lalu.

Kumpulan Orang Asli mendirikan sekatan itu sejak 18 Februari lalu bagi menghalang pekerja syarikat pembalakan dan ladang Musang King menceroboh kawasan hutan yang didakwa tanah adat mereka.

Pada 10 Ogos lalu, kira-kira 200 Orang Asli dari Gua Musang berkumpul di Putrajaya meminta bantuan Dr Mahathir mewartakan tanah adat mereka, selepas kerajaan Kelantan gagal berbuat demikian.

Susulan itu, perdana menteri memberi jamin akan membantu menyelesaikan masalah isu pencerobohan tanah adat Orang Asli di Gua Musang yang menuntut pengiktirafan tanah adat melalui kaedah Geran Komuniti.