100 orang saksi pasangan lesbian Terengganu disebat

Pasangan terbabit dijatuhi hukuman denda sebanyak RM3,300 setiap seorang dan 6 sebatan selepas mengaku bersalah kerana musahaqah.

PETALING JAYA: Kira-kira 100 orang khalayak umum menyaksikan sepasang kekasih lesbian dihukum sebat di Mahkamah Syariah Kuala Terengganu, hari ini.

Berita Harian melaporkan pesalah itu yang masing-masing berumur 22 dan 32 tahun disebat sebanyak 6 kali setiap seorang di hadapan Ketua Hakim Syarie Terengganu, Wan Mohd Zakri Wan Mohd; Hakim Kanan Syarie Terengganu, Rosdi Harun dan Hakim Syarie, Kamalruazmi Ismail pada jam 10.00 pagi.

Hukuman sebat di khalayak umum itu adalah pertama kali dilakukan di negeri ini yang dilaksanakan oleh Jabatan Penjara Malaysia di dalam Dewan 2 Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu.

Turut hadir menyaksikan hukuman itu ialah ahli Yang Dipertuan DUN, Yahaya Ali; Pengerusi Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Satiful Bahri Mamat; Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Amzad Hashim; keluarga pesalah; wakil badan peguam; badan bukan kerajaan (NGO) dan wakil media.

Pada 18 Ogos lalu, pasangan terbabit dijatuhi hukuman denda sebanyak RM3,300 setiap seorang dan 6 sebatan selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 30 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 yang dibaca bersama Seksyen 59 (1) enakmen yang sama kerana musahaqah.