Arab Saudi sekali lagi umum musim umrah mulai Muharam

Perubahan itu bertujuan meningkatkan jumlah jemaah, selaras dengan Visi Kerajaan Arab Saudi 2030. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Kerajaan Arab Saudi hari ini mengumumkan musim umrah bagi tahun baharu 1440H akan dimulakan lebih awal iaitu pada bulan Muharam, iaitu bulan pertama dalam kalendar Hijrah yang akan disambut oleh umat Islam seluruh dunia dalam masa kurang daripada 10 hari lagi.

Inilah kali ke-2 sejak tahun lepas, Arab Saudi menetapkan permulaan musim umrah di bulan Muharam berbanding tahun-tahun sebelumnya yang biasanya bermula pada bulan Safar, iaitu bulan ke-2 dalam kalendar Hijrah.

Akhbar harian berbahasa Arab Saudi “Okaz” yang memetik kenyataan Kementerian Haji dan Umrah, melaporkan perubahan itu bertujuan meningkatkan jumlah jemaah, selaras dengan Visi Kerajaan Arab Saudi 2030.

“Kementerian akan bekerjasama dengan Kementerian Luar Arab Saudi bagi mengeluarkan visa umrah untuk musim ini,” kata kenyataan itu sebagaimana dilaporkan harian “Okaz” di Riyadh.

Sementara itu, Timbalan Menteri Haji dan Umrah Dr Abdul Fattah Suleiman Mashat berkata, kerajaan Arab Saudi menyasarkan bilangan jemaah dari negara luar yang mengerjakan umrah akan meningkat kepada 15 juta menjelang 2022 dan kepada 30 juta jemaah pada 2030, selari dengan visi kerajaan Saudi.

Menurut akhbar itu, bilangan jemaah luar negara yang mengerjakan umrah melepasi angka 7 juta orang pada tahun lepas.

Menurut Mashat kerajaan Saudi memulakan penyusunan semula serta penambahbaikan dalam urusan haji dan umrah untuk menyediakan perkhidmatan terbaik kepada para jemaah.

Tahun lepas, Riyadh mengumumkan Visi Saudi 2030, yang bertujuan mengurangkan pergantungan kepada minyak sebagai sumber pendapatan utama dan mempelbagaikan pendapatan kewangan.