Azmin akhirnya menyerang Rafizi

Calon timbalan presiden PKR Rafizi Ramli berkata beliau bertanding untuk memastikan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri.

Kenyataan beliau ini memberikan indikasi bahawa masih ada usaha untuk menghalang Anwar menjadi PM selepas Tun Dr Mahathir Mohamad, meskipun mereka yang membuat dakwaan ini telah menafikannya.

Cuma, dalam kenyataan kurang cermat itu, bukankah Rafizi juga secara tidak langsung menyindir bahawa Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail selaku timbalan perdana menteri dan Datuk Seri Azmin Ali selaku menteri hal ehwal ekonomi juga tidak berupaya untuk memastikan Anwar menjadi PM sehinggakan khidmat beliau diperlukan?

Malah jika kita membaca lebih mendalam, boleh dikatakan beliau juga memberi indikasi tentang adanya pimpinan PKR yang tidak mahu Anwar menjadi PM.

Persoalannya, jika betul ada usaha untuk menghalang Anwar, apakah Rafizi dapat menghalangnya sekadar dengan jawatan timbalan presiden PKR sekiranya Wan Azizah dan Azmin yang berada dalam Kabinet dan Parlimen tidak dapat menghalangnya?

Apakah Rafizi akan bertindak seperti Ahli Parlimen Kapar Abdullah Sani yang secara terang-terang diberi lesen ala James Bond 007 untuk menyerang Dr Mahathir secara terbuka sehingga kerusi PM itu diserahkan kepada Anwar?

Melihat gelagat Abdullah Sani yang memohon maaf kepada Dr Mahathir berhubung dakwaan cuba menghalang Anwar daripada menjadi PM, tidak menghairankan sekiranya beliau adalah orang yang bakal mengosongkan kerusi Kaparnya kepada Anwar untuk kembali ke Parlimen Oktober ini.

Pengunduran Abdullah Sani daripada kerusi Parlimen ini boleh ditafsir pelbagai cara, tetapi ia positif bagi Anwar.

Pertama, ia memberi mesej bahawa mereka yang mengkritik Dr Mahathir telah diundurkan. Kedua, ia juga memberi mesej bahawa Anwar sedia mengundurkan Abdullah Sani demi keutuhan Pakatan Harapan.

Ketiga, pengunduran Abdullah Sani juga membolehkan Rafizi kembali menjadi pengkritik Dr Mahathir dan pendokongnya seperti ketika beliau mengkritik pelantikan 3 menteri pertama kabinet oleh Dr Mahathir pada bulan Mei lalu sebelum beliau ‘terdiam’ lalu tugas itu diambil oleh Abdullah Sani.

Memandangkan Abdullah Sani adalah daripada pasukan Rafizi, pengunduran beliau adalah petanda bahawa pasukannya lebih sudi berkorban untuk Anwar berbanding pasukan Azmin.

Serangan bertalu-talu Rafizi nampaknya kini telah membuahkan hasil. Azmin yang selama ini memilih untuk berjiwa besar dan tidak membalas serangan akhirnya terpaksa menyerang Rafizi.

Azmin terpaksa mengungkit semula pengorbanannya untuk Anwar sambil menyekolahkan “budak kecil” dalam parti yang mempertikaikan kesetiaannya kepada Anwar. Siapakah “budak kecil” yang dirujuk Azmin kalau bukan Rafizi?

Apakah Azmin kini berasa tergugat? Mungkin tidak, tetapi kepedasan serangan Rafizi sudah dapat dirasai pedihnya.

Persoalannya, apakah PH lebih memerlukan Azmin yang bersikap “team player” atau Rafizi, yang berani mendedahkan sumbangan RM800 ribu kepada pembantu menteri pertahanan baru-baru ini?

Watak mana yang lebih disukai Anwar dan Dr Mahathir – tidak lupa juga DAP dan Amanah – untuk keselesaan bersama dalam pentadbiran negara dan juga bagi menjamin penyerahan kuasa akan berlaku secara aman dan damai apabila tiba waktunya?

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.