Bekas ketua risikan Hasanah bebas reman SPRM

Hasanah Abdul Hamid dikatakan berada dalam keadaan baik sepanjang tempoh tahanan reman SPRM.

PUTRAJAYA: Bekas ketua pengarah Organisasi Risikan Luar Malaysia (MEIO) Datuk Hasanah Abdul Hamid dibebaskan dari tahanan reman, hari ini selepas ditahan selama 6 hari bermula 29 Ogos lalu.

Majistret Nik Muizzuddin Nik Muhammad membenarkan Hasanah dibebaskan tanpa perlu jaminan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM).

Wakil peguamnya, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berkata, Hasanah dibebaskan dengan jaminan mulut mengikut Sesyen 492(B) Akta SPRM yang membenarkan suspek bebas tanpa jaminan dan deposit tunai.

“Beliau memberi jaminan untuk hadir ke mahkamah semula untuk memberi keterangan, jika diminta.

“Bagaimanapun, passport beliau ditahan oleh mahkamah. Beliau boleh menulis surat kepada pegawai penyiasat (IO) jika memerlukan dokumen tersebut,” katanya ketika ditemui di luar Mahkamah Majistret.

Beliau juga berkata, Hasanah berada dalam keadaan baik sepanjang tempoh tahanan reman SPRM.

“Beliau sihat dan baik, tadi pun beliau ada merakamkan penghargaan dan pujian kepada pihak SPRM yang profesional mengendalikan siasatan,” katanya.

Khairul berkata, pihaknya tidak mempunyai maklumat sama ada Hasanah akan dipanggil semula untuk siasatan selanjutnya.

“Beliau mungkin dipanggil, mungkin tidak dipanggil, saya tak tahu.”

Semalam, Mahkamah Majistret Putrajaya melanjutkan tahanan reman Hasanah selama sehari untuk membatu siasatan berhubung salah guna kuasa dan seleweng peruntukan pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Ia selepas SPRM merampas AS$6.3 juta dalam siasatan terhadap Hasanah, minggu lalu.

Timbalan Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata wang sebanyak AS$4.7 juta serta barangan lain, yang membawa jumlah keseluruhan sebanyak AS$6.3 juta, dirampas di sebuah pangsapuri di Cyberjaya, disyaki berkaitan kes salah guna kuasa Hasanah.

Terdahulu, seorang timbalan ketua pengarah jabatan bergelar “Datuk” bersama 6 pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) yang direman sejak 28 Ogos lalu untuk membantu siasatan kes penyelewengan dana PRU14.