DBKL: Lebih RM900 juta denda kesalahan trafik belum dijelaskan

DBKL menawarkan diskaun kompaun bagi kesalahan tempat letak kereta bermeter dan lalu lintas sebanyak 70%. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mendedahkan sebanyak 4.5 juta notis kompaun membabitkan nilai keseluruhan berjumlah RM924 juta masih belum dijelaskan pesalah trafik di Kuala Lumpur.

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad berkata, jumlah tunggakan tersebut diambil kira sejak 2014 hingga Ogos tahun ini membabitkan saman lalu lintas dan kesalahan tempat letak kereta bermeter.

Katanya, bagi menggalakkan pembayaran balik saman itu, DBKL mengumumkan inisiatif kadar khas untuk menyelesaikan kompaun yang diterima sebelum September bagi diselesaikan dalam bulan ini dengan harga yang jauh lebih rendah.

“Kadar khas ini hanya terpakai untuk kesalahan tempat letak kereta bermeter dan lalu lintas sahaja.

“Kadar khas bagi motosikal sebanyak RM20, kenderaan jenis MPV (kenderaan serba guna), van, lori kecil, ‘pick up’, 4WD (pacuan 4 roda) dan SUV (kenderaan utiliti sukan) sebanyak RM30, manakala bagi kenderaan berat lain pula sebanyak RM50.

“Kadar-kadar ini juga diberikan kepada kes-kes am (kes selain kesalahan trafik) yang dikenakan sebelum 1 September 2018 dengan diskaun sebanyak 70% daripada jumlah kompaun.”

Khalid berkata tawaran tersebut berkuat kuasa 1 September lepas dan hanya sah sehingga hujung bulan ini sahaja.

Katanya, dengan kutipan bayaran saman itu, kerajaan mampu memperoleh pulangan balik sebanyak RM100 juta berbanding kutipan sebenar sebanyak RM924 juta jika tanpa sebarang diskaun.

“Daripada RM924 juta itu, mungkin akhirnya kita akan dapat kutip dalam RM100 juta.

“Jadi ia satu tawaran yang besar diberikan oleh DBKL dan kita nak ada permulaan baru dengan rakyat dan warga daripada Kuala Lumpur, jadi kita harap semua akan memanfaatkan tawaran ini.”