HSR ditangguh, tiada bayaran pampasan, kata Azmin

Azmin berkata, kerajaan mungkin akan memfokuskan servis antarabangsa kerana ia memberi kesan ekonomi yang baik kepada Malaysia dan Singapura.

SHAH ALAM: Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini mengesahkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura ditangguhkan dengan persetujuan kerajaan negara itu hingga “satu tempoh” yang belum ditetapkan.

Azmin bagaimanapun tidak mendedahkan tempoh yang yang dimaksudkannya itu.

“Ini kerana dalam tempoh tersebut kita yakin ekonomi Malaysia akan kembali pulih,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Mesyuarat Kedua (Pembukaan) Penggal Pertama Persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor, di sini hari ini.

Minggu lalu, Azmin mengadakan kunjungan hormat terhadap Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong di Singapura.

Beliau turut bertemu Menteri Pengangkutan Singapura, Khaw Boon Wan bagi mencapai kata sepakat berhubung projek HSR.

Mengulas lanjut, Azmin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa berkata, penangguhan projek HSR itu juga tidak melibatkan pembayaran pampasan.

“Tidak ada pampasan yang perlu dibayar dalam tempoh penangguhan projek ini.

“Ia akan dibayar sekiranya pada akhir tempoh penangguhan, kita membatalkan projek tersebut,” tegasnya.

Azmin dalam masa yang sama turut berkata selepas penangguhan, kerajaan akan meneruskan semula projek HSR berkenaan.

“Tempoh penangguhan ini (kita) akan teruskan perbincangan untuk lihat bagaimana kita dapat mengurangkan kos projek. Mungkin guna teknologi baru atau lihat aspek lain sebab HSR ni ada 2 komponen.

“Satu servis antarabangsa antara Singapura-Kuala Lumpur dan satu lagi servis domestik yang mempunyai 7 hentian,” katanya.

Azmin berkata, kerajaan mungkin akan memfokuskan servis antarabangsa kerana ia memberi kesan ekonomi yang baik kepada Malaysia dan Singapura.