Kaji semula sebat pesalah syariah di depan orang awam, kata Mujahid

Mujahid Yusof Rawa berkata, pihaknya mengikuti perkembangan hukuman sebatan ke atas 2 wanita di Terengganu dan berpendapat ia dijalankan mengikut proses undang-undang negeri.

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mujahid Yusof Rawa berkata, kehadiran orang awam sewaktu proses sebatan pesalah syariah seperti di Terengganu, hari ini, perlu dilihat semula.

“Ia (peruntukan) perlu dilihat, sama ada orang awam boleh hadir sekali. Sama ada pegawai (pihak berkuasa) 2, 3 orang boleh dikira sebagai orang awam. Bagi saya, itu proses teknikaliti dan boleh dibawa ke perdebatan,” katanya selepas melancarkan buku “Suatu Perjalanan Hidup” oleh Prof Datuk Denison Jayasooria di Universiti Kebangsaan Malaysia, dekat sini, hari ini.

Mujahid mengulas hukuman 6 sebatan ke atas 2 wanita di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu, selepas didapati bersalah melakukan hubungan sejenis dalam sebuah kereta, April lalu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya mengikuti perkembangan itu dan berpendapat ia dijalankan mengikut proses undang-undang negeri.

“Saya difahamkan mereka mengakui melakukan kesalahan, iaitu termaktub dalam Akta Enakmen Musahaqah (musahaqah ialah kesalahan perempuan dengan perempuan). Mereka diberi tempoh 14 hari rayuan dan mereka tidak mengemukakan rayuan.

“Saya juga difahamkan kaedah mereka dikenakan sebatan itu juga mengikut kaedah Islam yang tidak menyakitkan. Jadi, selagi perkara itu dipatuhi dan ada peruntukan undang-undang, maka bagi saya itu satu proses undang-undang biasa yang dilalui sesiapa yang melakukan jenayah.”

Menurutnya, jika ada pihak ingin mengeluarkan atau menghapuskan peruntukan itu, ia perlu dibuat mengikut enakmen negeri masing-masing.

Jelasnya, sama ada lesbian, gay atau sebagainya, setiap individu akan diadili mengikut proses dan saluran sama, sebaik sahaja sesuatu tangkapan itu dilakukan.

“Kepada masyarakat, semua ini tentu dibuat untuk kebaikan. Orang Islam khususnya sudah tahu mana-mana perkara yang dilarang dan sepatutnya mengambil hal ini sebagai pengajaran.

“Hukuman dalam Islam bukan untuk menyakitkan, tetapi lebih kepada pengajaran kepada yang lain-lain supaya kembali kepada fitrah.”

Perkahwinan bawah umur

Dalam pada itu, Mujahid turut menyambut baik perkenan Sultan Selangor agar had umur minimum perkahwinan lelaki dan perempuan Islam di Selangor dinaikkan daripada 16 kepada 18 tahun.

Jelasnya, kerajaan Pakatan Harapan (PH) gembira Selangor akan menjadi negeri pertama yang bersetuju dengan cadangan kerajaan menaikkan had umur perkahwinan itu.

“Alhamdulillah, tapi perkara itu di bawah enakmen negeri Selangor. Hasrat PH untuk melihat ini dalam konteks undang-undang, maknanya Selangor telah lebih awal daripada apa yang kita jangkakan di peringkat persekutuan. Itu pencapaian yang baik.”

Di peringkat kerajaan persekutuan, Mujahid berkata, pelarasan umur itu masih di peringkat penelitian dan rundingan bersama pakar Islam serta perundangan dan dijangkakan satu draf berkaitan hal ini akan dikeluarkan awal tahun depan.

“Kita lihat kepada keseluruhan akta yang ada, bukan satu, 2 akta sahaja. Jadi, kita tengok secara menyeluruh. Saya andaikan, jika tiada apa-apa aral, draf itu akan dikeluarkan awal tahun depan. Kita akan lihat lagi aspek tertentu jika ada sebarang pengecualian.”

Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini bertitah, baginda memandang serius kes melibatkan perkahwinan kanak-kanak Islam pada usia terlalu muda kerana bimbang dengan risiko kemudaratan masa depan pasangan itu serta kesannya kepada masyarakat kelak.