Khairuddin beritahu sebab tarik balik saman 1MDB

Khairuddin berkata, perintah yang dipohonnya tidak boleh dikuatkuasakan kerana Najib dan Zahid tidak lagi berkuasa.

PETALING JAYA: Bekas pemimpin Umno, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan hari ini menjelaskan keputusan menarik balik 2 saman berkaitan firma pelaburan negara 1MDB dengan berkata beliau melakukannya bagi menjatuhkan Barisan Nasional (BN) dan Datuk Seri Najib Razak.

“Bagi saya, saman itu kini menjadi akademik,” katanya dan menambah penarikan balik saman itu didasarkan kepada prinsip undang-undang yang mantap.

Beliau memberitahu FMT wujud banyak kekeliruan berhubung keputusannya itu selepas mahkamah minggu lepas menolak saman berkaitan berlian berwarna merah jambu dan permohonan perintah menuntut bekas perdana menteri, Najib, dan timbalannya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, menunaikan sumpah jawatan mereka.

Saman pertama difailkan pada Ogos tahun lepas terhadap 1MDB, ahli perniagaan Low Taek Jho dan isteri Najib, Datin Sri Rosmah Mansor, yang menuntut pemulangan set rantai berlian 22 karat berwarna merah jambu dianggarkan bernilai RM115 juta. Barang kemas itu didakwa dibeli menggunakan wang milik firma pelaburan negara.

Khairuddin berkata, beliau memfailkan saman tersebut kerana tindakan tidak akan diambil oleh 1MDB bagi mendapatkan barang kemas itu selagi Najib berkuasa.

Bagaimanapun katanya, landskap politik telah berubah selepas kemenangan bersejarah Pakatan Harapan (PH) pimpinan Dr Mahathir Mohamad dalam pilihan raya umum 9 Mei yang menyaksikan kuasa kerajaan bertukar tangan.

“Tambahan lagi kini 1MDB memutuskan untuk mengambil tindakan bagi pihak pembayar cukai dan rakyat Malaysia,” katanya.

Katanya, firma guaman baru 1MDB juga telah menulis kepada peguamnya supaya menarik balik saman tersebut bagi membolehkan mereka memulakan prosiding mahkamah.

“Adalah wajar saya menerima permintaan peguam 1MDB bagi membolehkan mereka mendapatkan berlian itu daripada Rosmah,” katanya.

Saman kedua pula difailkan pada September tahun lepas apabila Khairuddin menyaman Najib dan Zahid kerana didakwa melanggar sumpah jawatan mereka dengan membohongi orang ramai berhubung isu derma RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadi bekas perdana menteri itu.

Khairuddin berkata, mahkamah boleh mengeluarkan perisytiharan yang beliau pohon tetapi perintah itu tidak boleh dikuatkuasakan kerana Najib dan Zahid tidak lagi berkuasa.

“Rakyat telah putuskan mereka tidak lagi mahukan Najib dan BN, menatijahkan pembentukan sebuah kerajaan baru,” katanya.