Khalid sahkan Datuk Bandar KL serah notis letak jawatan

Khalid memberitahu pelantikan ke jawatan Datuk Bandar tidak akan dibuat melalui proses pilihan raya pihak berkuasa tempatan.

KUALA LUMPUR: Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad hari ini mengesahkan menerima surat peletakan jawatan Tan Sri Mhd Amin Nordin Abd Aziz sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur.

Khalid berkata, Amin menyerahkan surat bertarikh 1 September kepada beliau bersama notis selama 30 hari sebelum Datuk Bandar baru dilantik.

“Surat peletakan jawatannya akan dipertimbangkan dan ia juga bergantung kepada adanya pengganti yang boleh kita kenal pasti untuk menggantikan beliau.

“Saya belum respons kepada surat dia, itu situasi sekarang,” katanya dalam sidang media sebelum merasmikan acara penyerahan 5000 pelekat “Daulat Tuanku” sempena sambutan hari keputeraan Yang Dipertuan Agung, hari ini.

Susulan itu Khalid memberitahu, pihaknya sedang meneliti calon sesuai bagi menggantikan Amin dan dijangka akan dibawa ke dalam mesyuarat Kabinet minggu depan.

“Dia beri notis 30 hari jadi dalam minggu depan mungkin kita bawa pada mesyuarat Kabinet boleh bincang juga.

“Dalam soal ini yang penting kita nak cari pengganti yang boleh memainkan peranan sepatutnya, mesti ada pengalaman dan sebagainya,” katanya lagi.

Beliau bagaimanapun tidak menamakan mana-mana calon yang dianggap sesuai untuk memegang jawatan itu bagi menggantikan Amin.

Beberapa hari lalu timbul spekulasi mengatakan Amin bakal bersara awal pada penghujung bulan ini.

Mhd Amin, 63, sepatutnya bersara pada 18 Julai 2017 namun perkhidmatannya disambung kerajaan terdahulu secara kontrak selama 2 tahun sehingga Julai 2019.

Menurut sumber yang memetik laporan sebuah portal berkata, beliau dinasihatkan menamatkan kontraknya dan bersara awal pada bulan depan, setelah kerajaan Pakatan Harapan (PH) dikatakan berhasrat meletakkan calon lain bagi menggantikan beliau.

Dalam pada itu, Khalid memaklumkan pemilihan bagi jawatan Datuk Bandar tidak akan melalui proses pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Jelasnya, lantikan tersebut hanya akan dibuat menerusi perbincangan antara beliau dengan perdana menteri sahaja buat masa ini.

“Pilihan raya PBT merupakan pelan yang disebut dalam masa 2 atau 3 tahun sebab banyak perkara perlu dilakukan, termasuk pindaan undang-undang.

“Ia bukan sekadar proses pemilihan Datuk Bandar tetapi keseluruhan struktur dan struktur untuk membuat keputusan juga perlu dirombak. Jadi kita kena kaji lagi,” katanya.

Amin Nordin merupakan Datuk Bandar Kuala Lumpur ke-11 dengan pengalaman selama 38 tahun dalam pentadbiran kerajaan tempatan dan pengurusan perbandaran DBKL.

Beliau memulakan perkhidmatannya sebagai timbalan pengarah di Jabatan Landskap DBKL pada 1978 ketika berusia 22 tahun.

Beliau juga merupakan antara pegawai yang pernah berkhidmat di bawah pentadbiran seramai 10 Datuk Bandar Kuala Lumpur, termasuk di bawah Allahyarham Tan Sri Elyas Omar sebagai pegawai khas selama 4 tahun.

Terdapat desas-desus mengatakan 5 nama disenarai pendek untuk memikul tanggungjawab Datuk Bandar ke-12.

Antara nama yang disebut-sebut bakal menggantikan Mhd Amin ialah bekas Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan.