Mahkamah bebaskan Guan Eng daripada tuduhan rasuah

Menteri Kewangan Lim Guan Eng di luar Mahkamah Tinggi hari ini.

GEORGE TOWN: Mahkamah Tinggi menggugurkan pertuduhan rasuah terhadap Menteri Kewangan Lim Guan Eng dn ahli perniagaan Phang Li Koon berhubung pembelian sebuah banglo dikatakan di bawah harga pasaran selepas pihak pendakwaan memutuskan untuk menggugurkan pertuduhan.

Timbalan pendakwaraya, Datuk Masri Mohd Daud, yang memutuskan untuk menggugurkan pertuduhan selepas menerima representasi daripada tertuduh meminta mahkamah menimbangkan untuk melepaskan 2 tertuduh itu tetapi tidak membebaskan mereka (DNAA).

Bagaimanapun peguam tertuduh membantah cadangan itu dengan berkata pihak pendakwa tidak sepatutnya membiarkan kes itu tergantung kerana tertuduh boleh didakwa semula pada masa depan.

Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail bersetuju dengan pendapat peguam tertuduh dengan berkata mahkamah telah mendengar keterangan 25 saksi dan tidak bersedia untuk mendengar lebih banyak keterangan daripada saksi.

“Pertuduhan tidak boleh dibiarkan tergantung terhadap tertuduh selama tempoh yang tidak terbatas. Perlu ada penamat dalam kes ini.

“Saya tidak dapat bersetuju dengan pihak pendakwaan. Kami tidak mengendalikan kes secara bersiri. Mesti ada noktah, tiada koma, koma, terutamanya dalam kes jenayah.

“Setelah mengkaji keseluruhan kes dan masa yang begitu lama untuk mendapatkan keputusan, oleh itu saya perintahkan kedua-dua tertuduh dilepaskan dan dibebaskan,” katanya.

Lim dan Phang yang hadir di mahkamah kelihatan lega mendengar keputusan itu.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Lim mengucapkan terima kasih kepada peguam atas pembelaan mereka dan berkata “tekanan hebat’ yang ditanggung lebih 2 tahun lepas kini telah tiada.

Beliau berkata, tuduhan terhadapnya jelas merupakan “pendakwaan berpilih” oleh kerajaan lepas, dan menambah hanya Tuhan yang akan menghukum pihak yang membuat tuduhan terhadapnya dan Phang.

“Keputusan ini membersihkan nama kami. Hari ini, saya dan Phang bersedia untuk menghadapi semua kemungkinan. Saya berterima kasih kepada keluarga, peguam, pemimpin parti dan penyokong yang sentiasa bersama pada waktu senang atau susah.

“Saya juga berterima kasih kepada Phang yang berdiri bersama saya sepanjang ujian ini,” katanya.

Dalam pada itu Lim berkata beliau menyerahkan nasib pihak yang menuduhnya kepada Tuhan.

Kami mahu meraikan kejayaan yang tidak dijangka pagi ini. Selepas ini kami akan terus berusaha menjadikan Malaysia lebih baik.”

Pada 30 Jun 2016, Lim didakwa menggunakan jawatan awam atau kedudukannya sebagai ketua menteri Pulau Pinang untuk mendapatkan suapan kepada diri dan isterinya, Betty Chew, dengan meluluskan pemohonan daripada Magnificent Emblem Sdn Bhd menukar status tanah pertanian kepada tanah perumahan dalam mesyuarat Exco pada 18 Julai 2014.

Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia memperuntukkan hukuman penjara minimum 20 tahun dan denda 5 kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.

Lim juga didakwa di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan dengan membeli sebuah banglo berharga RM2.8 juta daripada Phang di bawah harga pasaran hartanah RM4.7 juta pada masa itu.

Tuduhan kedua membawa hukuman penjara tidak lebih 2 tahun dan penyitaan hartanah itu jika sabit kesalahan.

Phang didakwa di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan kerana bersubahat dengan Lim pada 28 Julai 2015 selepas membeli banglo di Jalan Pinhorn.

Beliau dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kedudukan Lim untuk suapan kepada dirinya.