Najib: Hubungan baik dengan Saudi punca Malaysia dapat kuota tambahan haji

Najib berkata, Raja Abdullah turut menghadiahkan sekeping kain Kiswah seberat 170kg kepadanya yang nilainya dianggarkan mencecah AS$20 juta. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Razak berkata, hasil hubungan baik dengan Raja Abdullah Abdulaziz Al-Saud dari Arab Saudi menyebabkan Malaysia mendapat tambahan 20,000 kuota haji secara “one-off”.

“Kuota tambahan istimewa 20,000 inilah yang digunakan oleh 1MDB untuk menghantar umat Islam yang mereka biayai bagi menunaikan ibadah haji,” tulis bekas perdana menteri dalam Facebooknya hari ini.

Beliau berkata, kuota tambahan itu didedahkan buat julung kali oleh ahli Parlimen Baling dalam sidang Parlimen bulan lalu.

Katanya, walaupun ramai yang mempertikaikan hubungan baik Malaysia dengan Arab Saudi, tetapi beliau tidak pernah mendedahkan kuota tambahan itu demi menghormati permintaan Raja Abdullah untuk merahsiakannya ketika itu.

Najib berkata, Raja Arab Saudi itu turut memberikan anugerah kehormat tertinggi kerajaan Riyadh “King Abdul Aziz Order of Merit (Kelas Pertama)” kepadanya.

Katanya, anugerah itu tidak pernah diberikan kepada mana-mana perdana menteri Malaysia sebelum ini.

“Seperti kerabat-kerabat raja yang lain, selain daripada sering memberi hadiah-hadiah yang berharga kepada saya dan keluarga saya, setiap kali kami melawat ataupun melalui lawatan pegawai tinggi mereka ke Malaysia pada 2010 juga, Almarhum menghadiahkan secara peribadi satu keping kelambu Kiswah yang digunakan untuk melindungi Kaabah genap setahun bagi 2009.”

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, kain Kiswah seberat 170kg itu dihasilkan setiap tahun menggunakan 670kg benang sutera serta benang emas dan perak seberat 150kg.

Katanya, hadiah itu paling berharga kerana beliau diberitahu nilainya sekurang-kurangnya AS$20 juta.

“Saya pernah mempamerkan Kiswah yang besar ini di Seri Perdana untuk seketika, tetapi tidak pernah memaklumkan media tempatan mengenai pemberian Kiswah ini kepada saya.

“Ini kerana Almarhum merasakan pemberian ini mungkin ada impak kepada negara-negara Islam yang lain.

“Memandangkan saya bukan lagi perdana menteri, saya membuat keputusan untuk berkongsi kisah ini kerana ramai yang pernah bertanya dan supaya rakyat Malaysia dapat tahu mengenai hubungan rapat dengan penjaga 2 kota suci sebelum ini.”

Najib berkata, beliau menyimpan kain Kiswah itu dengan baik dan berharap dapat dipamerkan di galeri Kuala Lumpur atau Pekan.

Katanya, beliau tetap mengekalkan hubungan baik dengan Riyadh selepas pemergian Raja Abdullah, di mana penggantinya, Raja Salman mengumumkan pelaburan syarikat Aramco milik Arab Saudi berjumlah AS$7 billion (RM30 bilion) di Pengerang, Johor dalam lawatannya ke Malaysia tahun lalu.

Beliau berkata, RM30 bilion itu diterima Petronas sebelum pilihan raya umum ke-14 dan ia adalah pelaburan terbesar dalam sejarah Malaysia.