PAS bidas aktivis persoal hukuman sebat ke atas lesbian

Idris Ahmad berkata, aktivis yang mempersoalkan hukuman sebat ke atas 2 wanita didapati melakukan hubungan sejenis tahu mengenai undang-undang syariah, tetapi tidak mengamalkan ilmu dimiliki mereka. (Gambar Bernama)

SHAH ALAM: PAS membidas tindakan aktivis mempersoalkan hukuman sebat ke atas 2 wanita yang mengaku melakukan hubungan sejenis di Terengganu, April lalu.

Naib Presiden PAS, Idris Ahmad tanpa menamakan aktivis itu berkata, kebanyakan mereka yang mempersoalkan hukuman itu arif tentang undang-undang syariah.

“Mereka tahu bidang kuasa Mahkamah Syariah hanya khas untuk orang Islam saja.

“Mereka selalu cakap soal ‘rule of law’, tiba-tiba apabila melibatkan soal (sebat lesbian), mereka persoalkan. Seolah-olah mereka ini ada ilmu, tetapi tak beramal dengan ilmu mereka,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PAS Selangor, hari ini.

Dua wanita berusia 32 dan 22 tahun masing-masing dihukum sebat 6 kali kerana cuba melakukan hubungan seks dalam sebuah kereta di Dataran Arena Square, Dungun, pada 1.50 tengah hari 8 April lalu.

Mereka berdua turut didenda RM3,300 atau 4 bulan penjara, jika gagal membayar denda itu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 30 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 yang dibaca bersama Seksyen 59 (1) enakmen sama kerana musahaqah.

Kedua-dua tertuduh bagaimanapun tidak mengemukakan rayuan ke atas hukuman sebat itu, walaupun mereka diberi peluang berbuat demikian dalam masa 14 hari.

Hakim Syarie, Kamarulazmi Ismail dilaporkan berkata, hukuman itu berbentuk pengajaran, peringatan serta pencegahan kepada pesalah sendiri dan masyarakat bagi mengelakkan kes sama berulang.

“Sebatan dalam syariah bukan untuk mencederakan, menyeksa dan mengazabkan pesalah. Mudah-mudahan hukuman ini menjadi pengajaran dan peringatan kepada seluruh umat Islam dan memberi gambaran bagaimana hukuman syariah itu adalah satu hukuman berbentuk mendidik, bukan untuk menyeksa,” katanya di awal prosiding dengan lebih 100 orang berada di galeri awam menyaksikan pelaksanaan hukuman sebat itu.

Beberapa aktivis Islam terkenal, termasuk Pengarah Islamic Renaissance Front (IRF), Datuk Dr Ahmad Farouk Musa menyifatkan hukuman sebat itu satu bentuk penghinaan, tidak berperikemanusiaan dan memalukan umat Islam serta Malaysia.

Idris berkata, aktivis yang mempersoalkan hukuman sebat itu sepatutnya menghormati kedudukan Mahkamah Syariah seperti termaktub dalam Artikel 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan yang menghalang mahkamah sivil mencampuri bidang kuasa Mahkamah Syariah.

“Hari ini orang kata satu benda yang baru. Ini baru benda baru. Ramai war-warkan kononnya sebat ini menzalimi orang dan sebagainya. Tetapi dalam masa 3 minit saja sudah terlaksana.

“Kita minta orang yang cakap itu supaya mereka pergi memperjuangkan soal hukum sebat di penjara yang dibuat di mahkamah sivil.”