PAS gesa siasat keputusan gugur tuduhan rasuah ke atas Guan Eng

Idris Ahmad (kanan) bersama Presiden Kelab Kebajikan Rangkaian Veteran dan Bekas Angkatan Tentera malaysia, Mohd Nazari Mokhtar mengadakan sidang media di ibu pejabat PAS Selangor, hari ini.

SHAH ALAM: PAS menggesa pihak berkuasa menyiasat keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menggugurkan pertuduhan rasuah terhadap Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang didakwa mempunyai elemen konflik kepentingan.

Naib Presiden PAS, Idris Ahmad berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu diberikan autonomi atau kebebasan untuk menyiasat dan membuat pendakwaan dalam sebarang kes rasuah di Malaysia.

“Kita mendesak agar pihak bertanggungjawab menyiasat secara terperinci, kemungkinan wujudnya konflik kepentingan ataupun tidak.

“Agak mendukacitakan apabila SPRM mengeluarkan kenyataan ianya terkejut dengan keputusan itu, seolah-olah keputusan itu bercanggah dengan siasatan dan saranan SPRM bagi kes ini,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PAS Selangor, hari ini.

Terdahulu, Lim dan ahli perniagaan, Phang Li Koon dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan rasuah pada 2016 selepas pendakwa raya menggugurkan kes itu.

Lim dituduh menggunakan jawatan awamnya untuk meluluskan permohonan sebuah syarikat dalam penukaran status tanah pertanian kepada perumahan, 2 tahun lalu.

Beliau juga dituduh menggunakan kedudukannya untuk membeli sebuah banglo daripada Phang pada harga RM2.8 juta berbanding harga pasaran RM4.27 dan Phang dituduh bersubahat dengannya.

SPRM kemudiannya dilaporkan berkata, ia “amat terkejut” dengan keputusan mahkamah membebaskan bekas ketua menteri Pulau Pinang itu daripada pertuduhan rasuah.

“SPRM ingin menegaskan bahawa keputusan menarik balik kes tersebut diputuskan oleh Pejabat Peguam Negara, bukannya dibuat oleh SPRM,” katanya dalam satu kenyataan ringkas hari ini.

Idris berkata, PAS berharap prinsip kedaulatan undang-undang dan layanan adil bagi semua individu melalui sistem kehakiman perlu ditegakkan kerajaan Pakatan Harapan dengan tindakan, bukannya sekadar janji dan retorik politik.

Beliau turut menasihatkan Tommy Thomas “menarik diri” daripada jawatan peguam negara, jika tidak mahu terpalit soal integriti berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini.

“Sepertimana yang diketahui ramai dan dilaporkan di media massa, Tommy merupakan salah seorang peguam yang terlibat dalam sebahagian daripada kes tersebut, sebelum dia dilantik sebagai peguam negara.

“Walaupun yang mengendalikan kes ini ialah peguam cara negara, Tommy merupakan pegawai tertinggi Jabatan Peguam Negara dan pegawai atasan kepada peguam cara negara.”

Thomas ialah sebahagian daripada pasukan peguam Lim dalam prosiding komital yang difailkan bekas peguam negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali pada 2016 terhadap Lim yang berdepan 2 pertuduhan rasuah membabitkan pembelian sebuah banglo.

Bagaimanapun, Thomas menarik diri daripada semua keputusan untuk kes membabitkannya secara peribadi, termasuk kes rasuah Lim selepas beliau dilantik sebagai peguam negara, Jun lalu.