PH Terengganu sokong hukuman sebat lesbian

Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad turut mengkritik mereka yang mengedar surat kononnya daripada urusetia PH yang membantah pelaksanaan hukuman tersebut.

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) Terengganu menyokong hukuman sebat terhadap sepasang kekasih lesbian di Mahkamah Syariah Kuala Terengganu yang disaksikan kira-kira 100 khalayak umum, hari ini.

Pengerusinya Datuk Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad berkata, pihaknya tidak membantah pelaksanaan hukuman tersebut kerana ia mengikut undang-undang Mahkamah Syariah Terengganu.

“Kerana (pelaksanaannya) pun bukan (di tempat) terbuka, 100 orang pun di dalam mahkamah, bukan di tengah padang. Kalau ini diperuntukkan dalam undang-undang Islam, saya rasa kita patut hormati, ini undang-undang mahkamah syariah.

“Sama juga undang-undang sivil kita kena hormati (kerana) telah diluluskan secara sah oleh kerajaan negeri melainkan kalau tak ikut peraturan, lainlah ceritanya,” katanya ketika dihubungi FMT.

Timbalan menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata, pasangan lesbian itu juga ditangkap dan mengaku bersalah serta tidak perlu PH mempertahankan mereka.

Hari ini, pasangan lesbian masing-masing berumur 22 dan 32 tahun disebat sebanyak 6 kali setiap seorang di hadapan Ketua Hakim Syarie Terengganu, Wan Mohd Zakri Wan Mohd; Hakim Kanan Syarie Terengganu, Rosdi Harun dan Hakim Syarie, Kamalruazmi Ismail pada jam 10.00 pagi.

Hukuman sebat di khalayak umum itu adalah pertama kali dilakukan di negeri ini yang dilaksanakan oleh Jabatan Penjara Malaysia di dalam Dewan 2 Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu.

Mengulas lanjut, Raja Kamarul mengkritik mereka yang mengedar surat kononnya daripada urusetia PH membantah pelaksanaan hukuman tersebut.

Katanya, surat itu adalah palsu dan ia bertujuan untuk menimbulkan kebencian terhadap Kerajaan Persekutuan yang dipimpin PH kononnya kerajaan mengiktiraf lesbian, gay, biseksual, transgander (LGBT) di negara ini.

“Sebagaimana yang ditugaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Datuk Mujahid Yusof Rawa) dalam persidangan Dewan Negara minggu lepas, kerajaan tidak pernah mengiktiraf golongan tersebut apatah lagi hak mereka untuk melakukan perkara maksiat yang terlarang.”