Salah guna kuasa: SPRM tahan bekas Adun Selangor

Bekas Adun berusia 56 tahun itu ditahan kira-kira 5.50 petang tadi di pejabat SPRM Selangor, selepas hadir memberi keterangan berkaitan kes itu.

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan seorang bekas Adun Selangor bagi membantu siasatan berkaitan salah guna kuasa membabitkan lebih RM50,000.

Menurut sumber, Adun wanita berusia 56 tahun itu ditahan kira-kira 5.50 petang tadi di pejabat SPRM Selangor, selepas hadir memberi keterangan berkaitan kes itu.

“Suspek wanita itu disyaki telah melantik sebuah syarikat sebagai pembekal bagi Program Masyarakat Pusat Khidmat DUN yang mana syarikat tersebut merupakan syarikat milik anaknya,” kata sumber itu.

Sementara, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.

“Penahanan suspek dibuat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009,” katanya.

Suspek akan dibawa Mahkamah Majistret Shah Alam untuk permohonan reman esok.