Saya pun terkejut, kata Dr M selepas Guan Eng bebas tuduhan

 

Dr Mahathir Mohamad pada sidang media selepas mengakhiri lawatan rasmi 2 hari ke Brunei, hari ini. (Gambar Bernama)

BANDAR SERI BEGAWAN: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad turut terkejut dengan pembebasan bekas ketua menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng daripada tuduhan rasuah berkaitan pembelian sebuah lot tanah dan banglo.

Mahkamah Tinggi Pulau Pinang melepas dan membebaskan Lim susulan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Masri Mohd Daud melalui representasi dikemukakan pihak pembelaan kepada Jabatan Peguam Negara untuk menggugurkan tuduhan itu.

Semasa dirujuk kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini yang menyuarakan rasa terkejut terhadap keputusan itu, Dr Mahathir berkata: “Mereka berhak terkejut, saya pun terkejut juga”.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Istana Qashr Munee, di sini, pada penghujung lawatan rasmi 2 hari ke Brunei.

Pada 30 Jun 2016, Lim mengaku tidak bersalah terhadap 2 pertuduhan rasuah membabitkan penukaran status tanah Zon Pertanian kepada Zon Perumahan dan pembelian Lot tanah serta sebuah banglo di Jalan Pinhorn di bawah nilai pasaran.

Sementara itu, merujuk lawatan 2 hari ke Brunei, Dr Mahathir berkata, apa yang penting ialah menyatakan dasar Malaysia terhadap negara itu tidak berubah dan akan kekal bersahabat baik dengan mereka.

Katanya, sambutan yang diterimanya sepanjang lawatan itu amat menggalakkan dan beliau gembira dengan layanan baik apabila Sultan Hassanal Bolkiah sendiri memandu “buggy” untuk membawanya bersiar-siar.

Sultan Brunei merupakan pemimpin negara luar pertama yang mengunjungi Dr Mahathir beberapa hari selepas beliau mengangkat sumpah sebagai perdana menteri dan kini adalah masa untuk beliau membalasnya dengan kunjungan ini.

Dr Mahathir berkata, antara perkara dibincangkan secara ringkas dalam pertemuan dengan Sultan Hassanal Bolkiah, termasuk isu berkaitan Lebuhraya Pan Borneo dan Limbang serta kerjasama dari segi pengeluaran minyak dalam blok yang dipersetujui 2 negara sebelum ini.

Terdahulu, pada sebelah pagi, perdana menteri bersama Sultan Hassanal Bolkiah bersiar-siar di Taman Mahkota Jubli Emas, di sini, dengan menaiki “buggy” dipandu Sultan Brunei sendiri, dan seterusnya ke Restoran Horizon untuk bersarapan.

Selepas kembali ke penginapannya, Dr Mahathir dan isteri menghadap Sultan Brunei di Istana Nurul Iman sebelum mengadakan pertemuan empat mata dengan baginda, dan seterusnya menghadiri majlis santapan tengah hari.

Pada sebelah petangnya, beliau memberi syarahan umum di Universiti Brunei Darussalam dan menjawab pelbagai soalan dikemukakkan ahli akademik sebelum beransur ke Istana Qashr Munee.

Dr Mahathir dan Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali bersama rombongannya yang turut disertai Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Bandar Seri Begawan lewat petang ini.