SPRM terkejut mahkamah gugurkan kes Lim Guan Eng

Lim dituduh menyalahgunakan kedudukannya sebagai ketua menteri Pulau Pinang ketika meluluskan satu urus niaga tanah, dan membeli sebuah banglo di bawah harga pasaran. (Gambar Bernama)

GEORGE TOWN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata ia “amat terkejut” dengan keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membebaskan bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng daripada tuduhan rasuah.

“SPRM ingin menegaskan bahawa keputusan menarik balik kes tersebut diputuskan oleh Pejabat Peguam Negara, bukannya dibuat oleh SPRM,” katanya dalam satu kenyataan ringkas hari ini.

Awal hari ini, Lim dan ahli perniagaan Phang Li Koon dibebaskan daripada pertuduhan rasuah yang dibuat terhadap mereka pada 2016 selepas pendakwa raya memutuskan untuk menggugurkan kes tersebut.

Pihak pendakwa pada mulanya meminta mahkamah melepaskan tanpa membebaskan kedua-dua tertuduh, tetapi mahkamah membuat keputusan membebaskan mereka sepenuhnya.

Lim dituduh menyalahgunakan kedudukannya sebagai ketua menteri Pulau Pinang ketika meluluskan satu urus niaga tanah, dan membeli sebuah banglo di bawah harga pasaran.

SPRM mula menyiasat Lim pada Mac 2016 selepas satu laporan dibuat terhadapnya kerana membeli sebuah banglo pada Julai 2015.

Pada waktu pembelian, Lim berkata ia merupakan satu urus niaga terbuka antara pembeli dan penjual yang saling bersetuju.

Pihak pendakwa berkata, Lim sedar tentang harga pasaran banglo tersebut ketika beliau membayar duti ad valorem sebanyak RM122,100.

Lim juga dituduh gagal memaklumkan hubungan dan kepentingannya kepada mesyuarat Jawatankuasa Perancangan Negeri ketika beliau meluluskan permohonan zon semula 2 bidang tanah daripada tanah pertanian kepada tanah perumahan kepada syarikat Magnificent Emblem Sdn Bhd di mana Phang merupakan pengarahnya.