Statistik: Melayu paling berminat sertai perkhidmatan awam

Kerajaan akan mengarahkan SPA menjalankan kajian bagi melihat mengapa berlaku ketidakseimbangan dalam perkhidmatan awam.

KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Negara hari ini diberitahu kerajaan Pakatan Harapan (PH) komited dalam memastikan keseimbangan kaum dalam perkhidmatan awam.

Bagaimanapun Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohamed Hanipa Maidin, berkata pelantikan individu dalam perkhidmatan awam adalah berdasarkan merit kelayakan mengikut Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

“Kerajaan melantik menteri kewangan daripada bukan Melayu yang mana pelantikan dibuat kerana merit dan kredibiliti. Pelantikan peguam negara, ketua hakim negara, ini semua contoh bagaimana kerajaan bergerak untuk mewujudkan keadaan orang bukan Melayu berminat untuk berkhidmat dalam penjawat awam,” katanya pada sesi soal jawab lisan persidangan itu.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Aknan Ehtook berkenaan ketidakseimbangan kaum dalam kalangan penjawat awam di negara ini.

Hanipa berkata berdasarkan statistik SPA bagi tempoh 2015 hingga Jun 2018, kaum Melayu merupakan paling ramai yang berminat dan mendaftar dengan SPA untuk bekerja dalam perkhidmatan awam iaitu sebanyak 79.66%.

“Ia diikuti kaum bumiputera Sabah sebanyak 7.84%; Sarawak (5.59%); kaum India (3.21%); kaum lain (1.84%); kaum Cina (1.6%) dan orang asal sebanyak 0.25%,” katanya.

Hanipa berkata buat masa ini, SPA tidak bercadang untuk memperkenalkan kuota pelantikan mengikut nisbah tertentu.

“SPA berpandangan kaedah pengambilan berdasarkan merit yang dilaksanakan buat masa ini mampu memberi peluang yang adil kepada semua calon di samping memastikan hanya calon berkelayakan dilantik dalam perkhidmatan awam,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Aknan mengenai langkah kerajaan bagi meningkatkan minat kaum lain menyertai perkhidmatan awam, Hanipa berkata semua pihak harus menerima hakikat bahawa citarasa dan minat setiap individu adalah berbeza.

“Bagaimanapun, saya mengarahkan SPA untuk menjalankan kajian bagi melihat mengapa ketidakseimbangan dalam perkhidmatan awam berlaku dan saya akan pastikan kajian ini dilakukan secara telus bagi memuaskan hati semua pihak,” katanya.