Sultan Selangor setuju 18 tahun umur minimum perkahwinan kanak-kanak

Sultan Sharafuddin Idris Shah mahu beberapa peruntukan lain dipinda bagi menambahbaik prosedur perkahwinan bawah umur di Mahkamah Syariah. (Gambar fail)

SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini bersetuju dengan cadangan menyelaraskan had umur minimum perkahwinan orang Islam lelaki dan perempuan di Selangor.

Cadangan itu adalah menaikkan had umur perkahwinan kanak-kanak daripada 16 kepada 18 tahun.

Sultan Sharafuddin berkata, pihaknya memandang serius kes seperti perkahwinan kanak-kanak Islam pada usia yang muda, terutamanya perempuan.

“Ini kerana beta bimbang tentang risiko kemudaratan masa depan pasangan tersebut dan kesannya kepada masyarakat kelak.

“Oleh itu, beta menitahkan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) untuk menyemak semula undang-undang di kalangan orang Islam yang sedia ada di Selangor dan membuat penambahbaikan jika perlu,” katanya.

Sultan Selangor berkata demikian semasa berucap pada Istiadat Perasmian Mesyuarat Kedua (Pembukaan) Penggal Pertama Persidangan DUN, hari ini.

Had umur perkahwinan bawah umur menjadi pendebatan selepas seorang lelaki berusia 41 tahun bernikah dengan kanak-kanak perempuan 11 tahun di Kelantan mendapat liputan meluas media baru-baru.

Pada 1 Julai lalu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata kerajaan akan membentangkan pindaan bagi menaikkan had umur perkahwinan bagi perempuan daripada 16 tahun kepada 18 tahun.

Mengulas lanjut, Sultan Sharafuddin mahu beberapa peruntukan lain dipinda bagi menambahbaik prosedur dah proses kebenaran perkahwinan bawah umur di Mahkamah Syariah.

“Antaranya dengan meletakkan beberapa syarat yang perlu dipatuhi oleh ibu bapa dan pihak berkenaan seperti mendapatkan rekod aspek mental, jasmani, kesuburan, akhlak dan sosilogi serta pengakuan kerelaan tanpa paksaan pemohon bagi memastikan perkahwinan mereka ini tidak akan mendatangkan kemudaratan,” katanya.

Sultan Sharafuddin turut mencadangkan agar beberapa peruntukan dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) dan Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 dibuat pindaan.

“Beta berharap agar kedua-dua cadangan pindaan undang-undang tersebut dapat dibentangkan dalam persidangan DUN pada kali ini.”