23 warga Kemboja jadi buruh paksa di ladang ketum

Warga Kemboja itu tidak memahami bahasa tempatan dan bekerja lebih 6 bulan di ladang seluas 1.5 ekar itu.

ALOR SETAR: Polis Kedah menyelamatkan 23 warga Kemboja termasuk kanak-kanak yang dieksploitasi menjadi buruh paksa di ladang tanaman ketum dalam “Op Pintas Naka” di Kampung Lamdin, Naka dekat Padang Terap tengah malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah SAC Mior Faridalathrash Wahid dalam kenyataan hari ini berkata mereka terdiri daripada 11 lelaki dan 9 wanita serta 2 kanak-kanak lelaki manakala selebihnya kanak-kanak perempuan.

“Umur mangsa dewasa yang diselamatkan ialah antara 25 tahun dan lewat 30-an, manakala kanak-kanak lelaki masing-masing berusia 5 dan 10 tahun serta kanak-kanak perempuan 7 tahun,” katanya.

Beliau berkata mereka diselamatkan selepas sepasukan polis daripada JSJ, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dengan dibantu JSJ IPD Padang Terap menjalankan pemeriksaan di 2 blok rumah ladang di kampung itu pada 12.15 tengah malam.

Katanya, warga Kemboja itu tidak memahami bahasa tempatan atau undang-undang negara ini serta didapati bekerja lebih 6 bulan di ladang seluas 1.5 ekar yang beroperasi secara haram itu.

Mior Faridalathrash berkata berikutan itu polis menahan seorang lelaki iaitu majikan kepada pekerja ladang itu berumur 46 tahun dan siasatan mendapati mangsa digaji untuk memetiK daun ketum tanpa permit kerja yang sah.

“Lelaki ini turut mempunyai rekod lampau, (iaitu) 1 kes berkaitan akta racun… suspek ini terlibat dalam kegiatan menanam dan mengupah warga asing untuk memetik daun ketum sebagai pendapatan komersil dan menggaji warga asing tanpa permit kerja yang sah… wujud unsur eksploitasi dan perkhidmatan paksa,” katanya.

Katanya selain itu, polis turut merampas 1,025 kg daun ketum yang diisi dalam 205 bungkusan plastik bernilai antara RM15,000 hingga RM20,000 serta difahamkan jualan bulanan ketum itu boleh mencecah hingga RM60,000 sebulan.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 15 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) serta Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.