Adun Sungai Air Tawar dilantik ketua pembangkang Selangor

Adun Sungai Air Tawar, Rizam Ismail. (Gambar Bernama)

SHAH ALAM: Adun Sungai Air Tawar daripada Barisan Nasional (BN), Rizam Ismail dilantik sebagai ketua pembangkang DUN Selangor ke-14.

Pemasyhuran itu dibuat oleh Speaker Ng Suee Lim hari ini.

Ng berkata, beliau sebelum itu mendapat surat daripada BN Selangor pada 27 Jun lalu untuk mencalonkan Rizam sebagai ketua pembangkang.

Ng turut mengucapkan tahniah kepada Rizam atas perlantikannya itu.

“Diharapkan ketua pembangkang yang dilantik dan dipersetujui dapat menjalankan semak dan imbang yang baik.

“Dan yang pentingnya jangan letak jawatan,” katanya.

Dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang lalu, BN memenangi 4 kerusi dan PAS 1 kerusi daripada 56 kerusi DUN di Selangor.