Anwar tak setuju sebat pesalah syariah di khalayak ramai

PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengkritik pelaksanaan sebatan di khalayak ramai ke atas 2 wanita yang disabit kesalahan melakukan hubungan sejenis kerana hukuman itu dilakukan tanpa mengikut proses undang-undang sewajarnya.

“Saya seorang umat Islam, saya tidak setuju tafsiran itu dan tindakan menyebat di khalayak ramai tanpa pemahaman dan proses sewajarnya,” katanya dalam sidang media sempena lawatan ke Filipina bagi menghadiri Persidangan Ketua Pegawai Eksekutif anjura Persatuan Pengurusan Filipina di Makati City, hari ini.

Presiden PKR itu bagaimanapun berkata, tiada apa yang boleh dilakukan kerajaan Pakatan Harapan kerana undang-undang syariah di bawah bidang kuasa negeri.

Katanya, sebatan ke atas wanita itu mempunyai asal-usul dalam “tafsiran undang-undang syariah yang sempit dan terpesong”.

Dua wanita berusia 32 dan 22 tahun itu mengaku bersalah melakukan hubungan seks dalam sebuah kereta di Dataran Arena Square, Dungun, pada 1.50 tengah hari 8 April lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 30 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 yang dibaca bersama Seksyen 59 (1) enakmen sama kerana musahaqah.

Masing-masing disebat 6 kali dengan disaksikan lebih 100 orang awam di galeri awam Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu, semalam.

Penahanan mereka dan sabitan itu dikritik kumpulan hak asasi ketika golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) berkata, mereka berdepan tindakan daripada pihak berkuasa.

Anwar berkata, pihak yang tidak bersetuju dengan hukuman sebat ke atas pesalah syariah perlu berhati-hati mengeluarkan kenyataan bagi mengelakkan mereka dilabel “anti-Islam” dan “sekular”.

“Ia akan menimbulkan perbalahan baru dalam kalangan masyarakat Islam.”

Katanya, beliau tidak menentang undang-undang syariah, tetapi sebagai masyarakat berbilang kaum, fokus perlu ditumpukan kepada objektif syariah lebih tinggi.

“Apakah matlamat syariah lebih tinggi? Untuk memastikan keamanan dan keselamatan, keadilan, toleransi, pendidikan dan pemahaman. Itu tidak dilakukan.”

Beliau berkata, umat Islam dan bukan Islam bimbang terhadap pelaksanaan undang-undang syariah di negara ini.

“Mari berdebat dan jangan bertegas tafsiran anda betul…walaupun jika ia betul, adakah itu keutamaan? Persoalan ini perlu menjadi dinamik dalam masyarakat Islam sebelum anda menumpukan perhatian terhadap syariah.”