AS selar hukuman penjara ke atas 2 wartawan Reuters di Myanmar

Dua wartawan Reuters, Wa Lone dan Kyaw Soe Oo duduk di sebelah anggota polis ketika mereka meninggalkan Mahkamah Insein di Yangon, Myanmar, pada 9 Julai lalu. (Gambar Reuters)

NEW YORK: Amerika Syarikat (AS) pada Isnin mengeluarkan satu kenyataan menyelar sabitan dan hukuman penjara 7 tahun ke atas 2 wartawan agensi berita Reuters di Myanmar bagi kesalahan “melanggar Akta Rahsia Rasmi” negara itu.

Washington menyifatkan hukuman itu “amat membimbangkan” dan “halangan besar” dalam laluan Myanmar ke arah demokrasi.

Kedutaan AS di Myanmar mengkritik “kelemahan jelas” dalam proses perundangan terhadap 2 wartawan, Wa Lone dan Kyaw Soe Oo, serta membangkitkan “kebimbangan serius berkaitan kedaulatan undang-undang dan kebebasan kehakiman” di Myanmar.

Kedua-dua wartawan yang ditahan sejak Disember lalu, selepas bertemu 2 pegawai polis di sebuah restoran di Yangon dan diberi selonggok dokumen, didakwa melanggar Akta Rahsia Rasmi, satu peninggalan pemerintahan kolonial Britain yang digubal pada 1923 ketika Myanmar dikenali sebagai Burma.

Wartawan lelaki terbabit menafikan meminta dokumen itu.

Kedua-dua tertuduh yang digari dan diiringi anggota polis di luar mahkamah selepas dijatuhi hukuman, bercakap sebentar kepada media sebelum dimasukkan ke sebuah kenderaan polis.

Penunjuk perasaan menyekat laluan kenderaan polis buat seketika, semasa ia meninggalkan mahkamah.

Tentera Myanmar khususnya dilaporkan berang dengan 2 wartawan itu kerana membuat liputan kempen ketenteraan kejam di negeri Rakhine dan menyebabkan hampir 700,000 umat Islam Rohingya menyeberangi sempadan ke Bangladesh sejak Ogos 2017.

Liputan mereka tertumpu kepada pembunuhan beramai-ramai 10 Rohingya oleh polis dan tentera di Kampung Inn Din.

Penahanan 2 wartawan itu mencetuskan kritikan bukan sahaja AS, tetapi juga dalam kalangan aktivis hak asasi manusia antarabangsa yang melihat kes itu ujian pertama sebenar Myanmar bagi kebebasan bersuara dan demokrasi sejak 2016, selepas berdekad di bawah pemerintahan kuku besi tentera.

Kedutaan AS di Myanmar yang menurut sumber akan terus “bertindak secara aktif” dalam kes 2 wartawan itu, menggesa mereka segera dibebaskan dan “pendakwaan sewenang-wenangnya ke atas wartawan ketika mereka melakukan tugasan” dihentikan.

“Rakyat Amerika telah lama berdiri bersama rakyat Myanmar untuk menyokong demokrasi, dan kami terus menyokong pemerintahan awam dan mereka yang menyokong kebebasan, pembaharuan serta hak asasi manusia di Myanmar,” menurut kedutaan itu.

Sekutu AS dan kerajaan Barat turut mendesak pihak berkuasa Myanmar segera membebaskan 2 wartawan itu serta menghormati kebebasan bersuara.

Dalam perkembangan berkaitan, Knut Ostby, penyelaras kemanusiaan dan penduduk Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Myanmar, berkata badan dunia itu “kecewa” dengan keputusan mahkamah.

Satu laporan amat kritikal dikeluarkan minggu lalu oleh penyiasat PBB berhubung penghijrahan besar-besaran pelarian Rohingya dari Myanmar; yang menggesa akauntabiliti ke atas pihak melakukan jenayah “paling kejam” di Myanmar terhadap orang awam, termasuk pembersihan etnik.

Wakil tetap AS ke PBB, Duta Nikki Haley menyelar pihak berkuasa Myanmar menjalankan “kempen pembersihan etnik kejam” terhadap populasi Rohingya.

Mengulas keputusan mahkamah ke atas 2 wartawan itu, Haley berang terhadap “kezaliman” tentera.

“Sudah jelas tentera Burma (Myanmar) melakukan kezaliman. Dalam sebuah negara bebas, menjadi tugas akhbar yang bertanggungjawab untuk memaklumkan orang ramai dan meletakkan akauntabiliti ke atas pemimpin.

“Kami akan terus menggesa mereka (2 wartawan itu) segera dibebaskan tanpa syarat,” kata Haley.