Azmin: Perwakilan tahu rekod 20 tahun saya dalam PKR

Azmin Ali berkata, beliau berkhidmat untuk PKR selama 20 tahun dan perwakilan sudah melihat rekod pencapaiannya. (Gambar Bernama)

SHAH ALAM: Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali menyerahkan kepada perwakilan untuk menentukan sama ada beliau perlu terus memimpin parti dengan berpandukan rekod pencapaiannya berkhidmat kepada parti hampir 20 tahun.

Azmin yang akan mempertahankan jawatan itu dalam pemilihan PKR akan datang, percaya dengan kebijaksanaan perwakilan untuk mengundi seorang pemimpin yang pada pandangan mereka boleh memperkukuhkan perpaduan dan menggunakan pendekatan inklusif melakukan perubahan kepada parti.

“Saya di sini untuk mengekalkan kedudukan saya sekarang dan telah berada dalam parti selama 20 tahun. Mereka (perwakilan) kenal saya…mereka telah melihat rekod pencapaian saya.

“Saya serahkan kad laporan saya kepada mereka untuk dinilai sekiranya mereka memutuskan saya perlu kekal dan memimpin parti,” katanya ketika sidang Dewan Undangan Negeri Selangor berhenti rehat untuk makan tengah hari, hari ini.

Menteri hal ehwal ekonomi dan Adun Bukit Antarabangsa itu akan berdepan Rafizi Ramli bagi jawatan timbalan presiden PKR pada pemilihan parti yang akan berlangsung selama 9 minggu, bermula bulan ini.