Bekas ketua risikan saman SPRM, kerajaan kerana dilarang jumpa peguam

Hasanah Abdul Hamid direman 6 hari bagi membantu siasatan salah guna kuasa dan penyelewengan dana PRU14, sebelum dibebaskan semalam.

KUALA LUMPUR: Bekas ketua pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid memfailkan saman terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung tindakan agensi itu tidak membenarkannya berjumpa dan berunding dengan peguamnya semasa direman berkaitan siasatan salah guna kuasa serta penyelewengan dana pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Hasanah, selaku pemohon memfailkan saman pemula itu menerusi Tetuan Azam Aziz Shaharudinali & Co pada 30 Ogos lalu dengan menamakan SPRM dan kerajaan Malaysia selaku responden.

Peguam, Datuk Shaharudin Ali yang mewakili Hasanah, ketika ditemui pemberita berkata, hari ini ditetapkan untuk pengurusan kes di dalam kamar Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azizah Nawawi, yang kemudiannya menetapkan 24 September ini untuk pendengaran saman pemula itu.

Dalam saman itu, Hasanah menuntut perintah perisytiharan yang surat pemberitahuan dikeluarkan SPRM di bawah Seksyen 28A (8) (9) Kanun Acara Jenayah untuk menyekat hak pemohon daripada berunding dengan peguamnya sepanjang tempoh beliau direman bertentangan Fasal 5(3) dan Fasal 8 Perlembagaan Persekutuan.

Oleh itu, pemohon mendakwa Seksyen 28A itu tidak sah, batal dan tiada kesan serta tidak boleh dikuatkuasakan terhadapnya.

Menerusi afidavit sokongan yang disertakan bersama saman itu, seorang lagi peguam Hasanah, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berkata, firma guaman mereka mengetahui Hasanah ditangkap SPRM pada 28 Ogos lalu dan ahli keluarganya mengarahkan pihaknya hadir keesokan hari (29 Ogos) dalam prosiding reman di Mahkamah Majistret Putrajaya.

Peguam itu mendakwa cara untuk pihaknya mengetahui alasan penangkapan Hasanah dan seksyen mana beliau akan disiasat adalah dengan menemuinya sendiri di lokap mahkamah, sebelum kes reman dipanggil majistret.

Namun, Khairul mendakwa satu surat pemberitahuan di bawah Seksyen 28A (8) (9) Kanun Acara Jenayah diserahkan kepada pihaknya ketika prosiding reman berkenaan untuk menyekat atau menghalang wanita itu daripada bertemu peguam.

Dakwanya, menurut Fasal 5(3) Perlembagaan Persekutuan, seseorang yang ditangkap hendaklah diberikan hak kebebasan asasi, iaitu hak berunding dengan peguam dan hak dibela peguam.

Hasanah direman 6 hari bermula 29 Ogos lalu bagi membantu siasatan berhubung salah guna kuasa dan penyelewengan dana PRU14, sebelum dibebaskan semalam dengan jaminan SPRM.