Elak stigma kesihatan mental, dapatkan bantuan pakar

Sering kali, kita hanya akan tahu mengenai kesihatan mental seseorang itu setelah dia melakukan sesuatu yang di luar dugaan ataupun membunuh diri.

Hakikatnya, permasalahan kesihatan mental boleh mengganggu kehidupan. Apa yang menyedihkan adalah, individu yang mengalami gangguan mental selalunya dianggap sebagai ‘terlalu dramatik’ atau ‘lemah’ sedangkan mereka sepatutnya diberi bantuan sewajarnya. Ini kerana di Malaysia, kesihatan mental tidak dianggap penting berbanding kesihatan fizikal.

Pada Januari tahun ini, seorang wanita berusia dalam 30an, terjun dari tingkat 10 pangsapuri tempat tinggalnya di Kajang. Dia kemudiannya didapati mempunyai sejarah masalah mental.

Satu lagi kes bunuh diri pada April melibatkan seorang pelajar cemerlang berusia 20 tahun, yang terjun dari tingkat 14 pangsapuri di Seremban berikutan masalah kemurungan. Nota yang ditinggalkan menyatakan dia terlalu takut jika mengecewakan ibu bapanya dan terlalu tertekan dengan pembelajarannya.

Dalam kedua-dua kes, mangsa mungkin dapat dibantu seandainya permasalahan kesihatan mental menjadi kebiasaan bagi masyarakat membincangkannya. Bagaimanapun, terdapat stigma berkaitan masalah itu yang menghalang ia dibincang secara terbuka.

Itulah sebabnya mangsa sering menderita dalam diam dan tidak mendapat bantuan yang diperlukan, sama ada sudah terlewat atau tidak sama sekali. Masalah itu hanya diperkatakan untuk seketika, contohnya berikutan peningkatan kejadian bunuh diri sebelum isu itu tenggelam dan dilupakan, sekali lagi.

Stigma di Malaysia

Pakar Psikologi Klinikal Pusat Perubatan Prince Court (PCMC) Urmilah Dass berkata stigma berkaitan kesihatan mental di Malaysia adalah tidak wajar sama sekali.

“Sesungguhnya, amat memalukan. Masyarakat Asia masih berpegang pada kepercayaan hanya orang yang lemah akan mengalami masalah berkaitan mental,” katanya pada Bernama.

Stigma berkaitan pelbagai masalah mental adalah sangat meluas sehinggakan keadaan itu menghalang mereka yang menderita daripada mendapat bantuan sewajarnya.

“Bergantung pada siapa mereka cuba dapatkan sokongan, penderita itu mungkin akan dilabel sebagai gila, lemah, terlalu sensitif, kurang keyakinan diri serta terlalu dramatik,” kata Urmilah.

Walaupun ada kalangan penderita yang tidak menghiraukan kata-kata negatif seumpama itu dan cuba mendapatkan bantuan yang diperlukan, ada kalangan yang kalah dengan tekanan sosial dan akhirnya terpaksa menanggung pelbagai simptom itu sendirian.

Kurangnya diagnosis daripada kalangan profesional perubatan juga menyebabkan keadaan menjadi lebih sukar untuk mereka mendapatkan bantuan dalam menangani simptom-simptom serta pengesahan mengenai keadaan mereka, agar mendapat perhatian sewajarnya.

Masalah kesihatan mental meningkat

Jumlah kes berkaitan kesihatan mental meningkat dengan ketara di Malaysia dan oleh itu, perlu pendidikan dan kesedaran orang ramai agar lebih memahaminya.

Kajian Kesihatan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2015 menunjukkan trend peningkatan dalam masalah-masalah kesihatan mental dalam kalangan orang dewasa di Malaysia, iaitu dari 10.7% pada 1996 kepada 29.2% pada 2015.

Jumlah itu diperoleh daripada 29,460 responden kaji selidik yang dijalankan, termasuk 20,940 daripadanya berumur 16 tahun ke atas. Ini bermakna setiap 3 dari 10 orang dewasa yang berumur 16 tahun ke atas, sedikit sebanyak mengalami masalah kesihatan mental.

Kajian itu menunjukkan kalangan wanita, golongan dewasa yang muda dan dewasa daripada keluarga berpendapatan rendah adalah antara mereka yang berisiko tinggi mengalami masalah kesihatan mental.

Mereka yang berusia 16-19 tahun didapati menghadapi masalah kesihatan mental paling tinggi iaitu 34.7%, diikuti mereka yang berumur 20-24 tahun (32.1% ) dan yang berumur 25-29 tahun (30.5%).

Jumlah itu juga menunjukkan orang dewasa yang berumur antara 20 hingga 30 tahun lebih cenderung mengalami masalah kesihatan mental.

Keadaan itu tidak boleh dianggap remeh kerana menurut Penyelidikan Sistem Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia pada 2016, masalah kesihatan mental memberi impak besar kepada ekonomi negara.

Malangnya, jumlah pakar psikologi dan psikiatri sangat terhad di Malaysia untuk menangani peningkatan masalah kesihatan mental.

Menurut Majlis Perubatan Malaysia, hanya terdapat seorang pakar psikologi yang merawat setiap 100,000 pesakit dan seorang pakar psikiatri untuk setiap 150,000 pesakit.

NHMS meramalkan masalah kesihatan mental akan menjadi masalah kesihatan kedua terbesar yang memberi kesan kepada rakyat Malaysia selepas penyakit jantung menjelang 2020, kecuali langkah sewajarnya diambil untuk menanganinya.

Bantuan professional

Timbalan Presiden Persatuan Psikiatri Malaysia Dr Hazli Zakaria berkata golongan yang mempunyai masalah mental biasanya tidak mendapatkan rawatan kerana takut atau malu mengakui mereka mempunyai masalah.

Sementara itu, tambah beliau, ada yang tidak menyedari mereka mempunyai masalah. Bagaimanapun, terdapat tanda-tanda yang mungkin dapat dilihat atau dirasai oleh mereka yang rapat dengan individu berkenaan.

Petanda jelas sekiranya seseorang yang berperwatakan mesra secara tiba-tiba menjadi introvert atau anti-sosial, kata Dr Hazli.

Sementara itu, Urmilah berkata, antara simptom lain yang menunjukkan keadaan kesihatan mental seseorang itu adalah perubahan signifikan pada pola tidurnya, iaitu sama ada terlalu banyak tidur atau mengalami kesulitan untuk tidur.

Penyakit mental juga boleh mempengaruhi selera seseorang, motivasi, harga diri dan harapan untuk masa depan.

Menangani stigma

Urmilah berharap dengan adanya pendedahan dan pendidikan mengenai masalah itu, stigma berkaitan kesihatan mental akan berkurangan dan terus lenyap di masa depan.

“Dengan meningkatkan kesedaran, lebih ramai akan tahu mengenai masalah ini dan faham tidak perlu rasa malu untuk mendapatkan bantuan,” katanya.

Menganjurkan kumpulan sokongan, menyediakan lebih banyak bantuan dan mewujudkan kurikulum yang merangkumi kepentingan kesihatan mental di sekolah-sekolah juga akan membantu menyebarkan kesedaran mengenai masalah ini, katanya.

“Sokongan keluarga dan rakan-rakan adalah penting dan berguna. Ini kerana amat penting untuk memahami dan menerima masalah kesihatan mental yang dihadapi seseorang itu,” katanya.