Exco: Tiada rundingan kerajaan pusat, Selangor sebelum tangguh ECRL

Projek ECRL sejauh 688km yang bernilai RM81 bilion itu menghubungkan Pelabuhan Klang di Selangor dan Kota Bharu, Kelantan pada asalnya dijadualkan siap menjelang 2024. (Gambar Bernama)

SHAH ALAM: Tiada rundingan antara kerajaan pusat dan Selangor sejak pilihan raya umum lalu berhubung projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) membabitkan jajaran di negeri itu, sebelum ia ditangguhkan untuk semakan dan kajian semula pelaksanaannya, kata exco Selangor, Ng Sze Han.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru Selangor itu bagaimanapun berkata, ada 5 syarat yang perlu dipatuhi pemilik projek itu, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), jika kerajaan pusat meneruskan pembinaan ECRL.

Beliau berkata, kerajaan negeri mahu landasan ECRL dibina sejajar Lebuhraya Karak secara ‘elevated’ di sekitar Permatang Kuartza.

“Keduanya, perlu membuat penyelesaian berhubung penempatan Orang Asli di Gombak.

“Ketiga, kawasan hutan simpan dan tanah rizab Melayu perlu diberi perhatian dengan menyediakan pelan atau rangka tindakan seperti ‘land swapping’,” katanya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Adun Bukit Lanjan, Elizabeth Wong mengenai perkembangan terkini projek ECRL di Selangor dan berapa banyak rundingan kerajaan pusat dan negeri sejak 9 Mei lalu.

Akhir bulan lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kajian sedang dijalankan untuk menentukan projek sokongan China seperti ECRL ditunda atau diteruskan dengan cara lain.

Pada 4 Julai lalu, China Communications Construction Sdn Bhd mengesahkan pihaknya menerima notis tangguh semua kerja membina ECRL daripada MRL.

Projek sejauh 688km yang bernilai RM81 bilion itu menghubungkan Pelabuhan Klang di Selangor dan Kota Bharu, Kelantan pada asalnya dijadualkan siap menjelang 2024.

Ng berkata, syarat lain yang perlu diambil kira MRL adalah menyelesaikan isu berkaitan aduan penduduk kampung terjejas dari semasa ke semasa.

Katanya, MRL juga perlu mendapatkan kelulusan dasar daripada kerajaan negeri dan mengemukakan permohonan rundingan projek di bawah Seksyen 20A Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976.