Gabungan tahfiz rangka tubuh institusi latihan khas untuk guru

Pinta yakin kursus itu dapat melahirkan tenaga pengajar yang berkualiti seiring dengan guru aliran kebangsaan. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Gabungan tahfiz sedang merangka penubuhan sebuah institusi latihan khas bagi melahirkan guru tahfiz yang berkualiti dan mengikut tatacara operasi standard (SOP) sedia ada.

Presiden Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (Pinta), Mohd Zahid Mahmood berkata, institusi latihan khas itu seperti Institut Pendidikan Guru (IPG) yang akan melatih pengajar tahfiz mengikut SOP dan menjadi guru yang berkualiti.

“Pinta akan memantapkan guru-guru yang mengajar di tahfiz dengan mendapatkan kursus dan sijil selepas mereka dilatih secara profesional sebelum dibenarkan mengajar di mana-mana tahfiz.

“Apabila tenaga pengajar mengikuti kursus ini, ia dapat melahirkan tenaga pengajar yang berkualiti seiring dengan guru di aliran kebangsaan.

“Sekarang aspek latihan perguruan di tahfiz adalah tidak selaras, kurang sistematik dan tidak menepati keperluan semasa,” katanya kepada FMT.

Zahid turut mengakui kes penderaan pelajar tahfiz banyak berlaku kerana ia dikatakan sebagai satu proses pembelajaran yang melampau dan ia tidak patut dilakukan di institusi itu.

Sebelum ini, seorang pelajar tahfiz di Tok Sira, Jalan Tengku Muhammad bukan sahaja di rotan di badan dan kepala, tetapi dicucuh api serta diugut gunting kemaluannya oleh 2 tenaga pengajarnya selepas dikatakan terlalu nakal.

Kejadian pada jam 7.00 malam itu disedari bapa kanak-kanak berusia 8 tahun itu selepas melihat video penderaan tersebut yang tular di laman sosial.

Mengulas lanjut, Zahid berkata sejak zaman dahulu lagi tujuan ibu bapa menghantar anak mereka ke tahfiz kerana anak mereka terlalu nakal dan kurang minat untuk belajar.

“Ibu bapa melakukan kesilapan besar dengan menganggap sekolah tahfiz adalah satu tempat untuk mendidik anak yang nakal atau tidak mahu belajar.

“Konsep dalam pemikiran melayu sekarang, jika anak sudah tiada harapan untuk jadi manusia, sekurang-kurangnya dapat mengaji Al-quran sudah cukup bagus.

“Jika anak mereka terlalu nakal dan tidak dapat dilentur di tahfiz, maka ibu bapa menyalahkan guru di sekolah tahfiz yang tidak bertanggungjawab,” katanya.