Guru ugut potong kemaluan pelajar: Pusat tahfiz tiada lesen, kata exco

Shahaniza Shamsuddin berkata, mangsa berusia 8 tahun itu menunjukkan tanda trauma, sebaliknya menganggap ia adalah hukuman terhadapnya.

KUANTAN: Pusat tahfiz di mana seorang kanak-kanak dicucuh api dan diugut akan dipotong kemaluannya menggunakan gunting rumput disahkan beroperasi tanpa lesen daripada Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).

Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin berkata pusat tahfiz itu sekadar berdaftar dengan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK).

“Pusat itu berdaftar dengan MPK sebagai pusat asuhan dan beroperasi sejak 4 tahun lalu, diuruskan secara persendirian, termasuk dalam soal silibus pembelajaran serta tidak menerima bantuan kewangan daripada mana-mana pihak.

“Setakat ini, terdapat 9 pelajar berusia antara 8 hingga 17 tahun di sini yang dikenakan bayaran RM250 sebulan, meliputi bayaran makan dan tempat tinggal,” katanya selepas mengunjungi pusat tahfiz itu, hari ini.

Shahaniza berkata, beliau dimaklumkan JAIP sedang menyiasat kelayakan tenaga pengajar pusat tahfiz di Jalan Tengku Muhammad, di sini, memandangkan semua pelajarnya tidak ke sekolah harian.

Mengulas pertemuannya dengan mangsa berusia 8 tahun, Shahaniza berkata, kanak-kanak itu tidak menunjukkan tanda trauma, sebaliknya menganggap ia adalah hukuman terhadapnya.

“Kanak-kanak itu mengatakan dia tidak lagi kencing merata-rata atau di atas tilam kerana hukuman itu menjadikannya lebih berdisiplin. Bapa kanak-kanak itu juga mengakui dia tahu mengenai kejadian itu.

“Katanya, dia telah ditunjukkan video itu terlebih dahulu sebelum menjadi viral. Malah, bapa kanak-kanak itu masih menghantar anaknya tinggal di sini, walaupun dinasihatkan mengambil anaknya pulang.”

Ahad lalu, media melaporkan penahanan pentadbir pusat tahfiz itu yang dipanggil “ummi” dan “walid” bagi membantu siasatan mendera mangsa, selepas tersebar video itu di laman sosial.

Shahaniza menasihatkan semua pusat tahfiz di Pahang mendaftar dengan pihak berkuasa bagi menjamin keselamatan dan kebajikan kanak-kanak, selain memastikan mereka mendapat pendidikan sempurna.

“Walaupun pembelajaran yang utama adalah bidang agama, pusat tahfiz juga perlu memastikan pelajar tidak ketinggalan dari segi akademik demi masa depan kanak-kanak ini.”