Halimey: Pengguguran kes rasuah Guan Eng tak jejas sokongan pengundi

Halimey Abu Bakar hanya beri tumpuan kepada PRK DUN Seri Setia.

PETALING JAYA: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi pilihan raya kecil (PRK) Seri Setia, Halimey Abu Bakar yakin pengguguran kes rasuah bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng semalam tidak menjejaskan sokongan pengundi DUN itu terhadap beliau dan PH.

Beliau berkata tumpuan kini hanya di Seri Setia dan tidak wujud sebarang persepsi negatif yang diberikan meskipun ada pemimpin tertinggi PH sendiri yang terkejut dengan keputusan yang dibuat mahkamah semalam.

“Ini (kes Lim) tidak beri kesan kepada kami.

“Setakat ini tidak ada apa-apa persepsi atau pengundi kita bercerita tentang ini, tidak ada dan tidak wujud persepsi negatif sebab tumpuan masing-masing pada DUN Seri Setia,” katanya kepada media di bilik gerakan utama PH hari ini.

Halimey bagaimanapun seakan “bermain tarik tali” dan enggan menyatakan pendiriannya sama ada turut terkejut dengan keputusan itu.

“Saya merasakan ini adalah kes mahkamah dan tidak melibatkan DUN Seri Setia

“Jadi, saya tiada komen,” katanya ringkas.

Semalam Mahkamah Tinggi Pulau Pinang melepas dan membebaskan Lim susulan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Masri Mohd Daud melalui representasi dikemukakan pihak pembelaan kepada Jabatan Peguam Negara untuk menggugurkan tuduhan itu.

Susulan itu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut terkejut dengan keputusan tersebut di mana SPRM menegaskan ia diputuskan oleh Pejabat Peguam Negara dan bukannya agensi itu.

Pada 30 Jun 2016, Lim didakwa menggunakan jawatan awam atau kedudukannya sebagai ketua menteri Pulau Pinang untuk mendapatkan suapan kepada diri dan isterinya, Betty Chew, dengan meluluskan pemohonan daripada Magnificent Emblem Sdn Bhd menukar status tanah pertanian kepada tanah perumahan dalam mesyuarat Exco pada 18 Julai 2014.

Lim juga didakwa di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan dengan membeli sebuah banglo berharga RM2.8 juta daripada Phang Li Koon di bawah harga pasaran hartanah RM4.7 juta pada masa itu.

Dalam perkembangan lain, Halimey mencadangkan penubuhan pangkalan data serta audit bagi memantau pusat jagaan dan taska di DUN Seri Setia.

“Ia berikutan laporan beberapa kes penderaan sehingga membawa kematian sejak kebelakangan ini yang melibatkan petugas dan taska tidak berdaftar serta tidak berkemahiran,” katanya.

Hari pengundian bagi PRK Seri Setia ditetapkan pada Sabtu ini.