Isteri CEO Cradle Fund direman 7 hari

Samirah Muzaffar ditahan di Taman Tun Dr Ismail, kira-kira 2.15 pagi tadi.

PETALING JAYA: Samirah Muzaffar yang merupakan isteri Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd, Nazrin Hassan direman 7 hari bagi membantu siasatan kematian suaminya pada Jun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Fadzil Ahmat dipetik Bernama berkata, wanita berumur 43 tahun itu ditahan di Taman Tun Dr Ismail, dekat sini, kira-kira 2.15 pagi tadi.

Beliau berkata, perintah reman 7 hari turut dikeluarkan Mahkamah Majistret Petaling Jaya ke atas bekas suami Samirah.

“Isteri arwah ditahan selepas tangkapan pertama dibuat ke atas seorang lelaki berumur 43 tahun yang juga bekas suaminya. Lelaki itu ditahan di Sepang pada 1 pagi,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Nazrin, 47, meninggal dunia dalam kebakaran akibat di tingkat atas rumahnya di Mutiara Damansara, Selangor, pada 14 Jun lalu.

Cradle Fund Sdn Bhd dalam kenyataan ketika itu mengesahkan laporan bedah siasat menyimpulkan kematian Nazrin berpunca daripada komplikasi kecederaan akibat letupan telefon bimbit yang sedang dicas berdekatannya.

Pada 6 Ogos lalu, Fadzil dilaporkan berkata, kematian Nazrin diklasifikasikan sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat serta bedah siasat.

Pada 15 Ogos lalu, Samirah dilaporkan mendakwa badan penyiasat tidak telus dalam siasatan kematian suaminya serta menuduh Jabatan Bomba dan Penyelamat membuat dakwaan tidak benar.

Keesokannya, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Mohammad Hamdan Wahid dilaporkan berkata, mereka menjalankan pemeriksaan dan siasatan berdasarkan prosedur operasi standard ditetapkan.

Cradle Fund adalah syarikat di bawah Kementerian Kewangan yang berperanan membangunkan usahawan teknologi dan ekosistem syarikat permulaan Malaysia, dengan memberi pembiayaan awal kepada syarikat berjaya seperti Grab (sebelum ini MyTeksi) dan syarikat pemula niaga fintech iMoney.