Khalid: Perlu pinda akta untuk beri kuasa SPRM buat pendakwaan

Khalid Abdul Samad berkata, cadangan SPRM diberi kuasa pendakwaan antara reformasi yang pernah dikemukakan Pakatan Rakyat dahulu.

KUALA LUMPUR: Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad berkata, cadangan supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diberikan kuasa membuat pendakwaan tidak boleh dilaksanakan sekarang kerana memerlukan pindaan akta terlebih dahulu.

“Cadangan SPRM diberi kuasa pendakwaan memang antara cadangan dibawa Pakatan Rakyat dahulu dan ia merupakan sebahagian reformasi yang kita bawa,” katanya selepas merasmikan projek pengindahan lorong belakang di Bukit Bintang, hari ini.

“Ketika ini kes disiasat oleh SPRM dan mereka akan serah kepada peguam negara, jadi jika peguam negara rasa kes itu tidak kuat, tetapi SPRM merasa sebaliknya, maka SPRM harus diberi hak untuk meneruskan pendakwaan.

“…tetapi buat masa sekarang kita tidak boleh laksanakan terus,” katanya mengulas catatan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar di Twitternya semalam yang agensi anti-rasuah itu perlu diberikan kuasa membuat pendakwaan.

Kenyataan itu susulan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang melepas dan membebaskan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng serta ahli perniagaan, Phang Li Koon daripada pertuduhan rasuah pada 2016, selepas pendakwa raya menarik balik kes itu.

Lim dituduh menggunakan jawatan awamnya untuk meluluskan permohonan sebuah syarikat dalam penukaran status tanah pertanian kepada perumahan, pada 2016.

Beliau juga dituduh menggunakan kedudukannya untuk membeli sebuah banglo daripada Phang pada harga RM2.8 juta berbanding harga pasaran RM4.27 dan Phang dituduh bersubahat dengannya.

Hukuman sebat

Sementara itu, Khalid yang juga Pengarah Komunikasi Amanah berkata, semua pihak perlu menghormati keputusan Mahkamah Syariah Kuala Terengganu melaksanakan hukuman sebatan di depan khalayak ramai semalam, ke atas 2 wanita yang mengaku melakukan hubungan sejenis.

“Kita kena tahu bahawa di Malaysia, kita ada banyak negeri dan setiap negeri ada undang-undang agama masing-masing.

“Jadi, undang-undang (hukuman sebat) itu sudah diluluskan di dalam DUN Terengganu, jadi kita kena hormatlah.

“Jika mereka tidak menyokong hukuman sebat di depan khalayak ramai, bawa perkara itu kepada Adun masing-masing. Kita perlu hormati undang-undang, kalau mereka nak ubah undang-undang itu mereka kena bawa usul itu ke DUN,” katanya.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mujahid Yusof Rawa dilaporkan berkata, tindakan menyebat pesalah syariah di depan orang awam perlu dikaji semula.

Lebih 100 orang berada di galeri awam menyaksikan pelaksanaan hukuman 6 sebatan ke atas 2 wanita berusia 32 dan 22 tahun yang mengaku melakukan hubungan seks dalam sebuah kereta di Dataran Arena Square, Dungun, pada 1.50 tengah hari 8 April lalu.

Mereka berdua turut didenda RM3,300 atau 4 bulan penjara, jika gagal membayar denda itu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 30 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 yang dibaca bersama Seksyen 59 (1) enakmen sama kerana musahaqah.

Kedua-dua tertuduh bagaimanapun tidak mengemukakan rayuan ke atas hukuman sebat itu, walaupun mereka diberi peluang berbuat demikian dalam masa 14 hari.