Kuih bulan kek lapis, terima sambutan baik

Kreativiti seorang wanita mencipta ‘kuih bulan inti kek lapis’, yang lari dari kebiasaan perisa kuih tradisional Cina itu dihasilkan sempena Perayaan Pertengahan Musim Luruh.

Pengusaha kek lapis, Maria Ngui Sai Moi, 43, berkata kuih bulan tradisional mempunyai pelbagai jenis inti seperti kuning telur masin, durian, kacang merah, pandan dan biji teratai.

Bercakap kepada Bernama, Maria, ibu kepada 2 cahaya mata, berkata ‘rekaan’ itu dicipta pada 2014 sekadar untuk dimakan sendiri, namun tahun ini nekad untuk menghasilkan serta menjual sempena Perayaan Pertengahan Musim Luruh yang akan disambut 24 Sept ini.

“Saya menggunakan ‘snow skin’ sebagai kulit kuih bulan ini manakala intinya menggunakan kek lapis premium. Untuk menghasilkan kuih bulan ini, pertama sekali saya perlu membuat kek lapis, apabila siap kek lapis itu perlu dipotong menggunakan acuan bentuk bulat yang ditempah khas kemudiannya dimasukkan ke dalam ‘snow skin’ yang diuli menjadi doh sebelum diterap menggunakan acuan mooncake.

“Tahun ini saya akan menghasilkan 14 jenis kuih bulan inti kek lapis seperti ‘rainbow cheese’, ‘fruity cheese’, ‘Macha cheese’, ‘durian’ , ‘black sesame’ , ‘chocolate rainbow cheese’, ‘chocolate mint’ , ‘blueberry cheese’, ‘batik Sarawak’, ‘coffee’ dan ‘cappuccino’,” kata wanita Bidayuh ini.

Biarpun akan memberi tumpuan menghasilkan serta menjual kuih bulan inti kek lapis tahun ini, Maria berkata dia tetap akan menghasilkan 6 jenis kuih bulan tradisional iaitu perisa ‘red bean, ‘lotus’ ‘red dates’ ‘baba nyonya’ ‘salt moon bean’ dan ‘pandan moon bean’ namun tidak akan dijual dalam kuantiti yang banyak.

“Kuih bulan inti kek lapis akan dijual pada harga RM10 dan RM12 mengikut gred kek lapis, manakala kuih bulan tradisional akan dijual pada harga RM8, RM10 dan RM12,” katanya.

Memiliki pengalaman menghasilkan serta menjual kuih bulan tradisional sejak 2010, Maria berkata sejak berita ‘kuih bulan inti kek lapis’ tersebar, dia bersama 2 kakitangan dibantu suami serta anak tidak menang tangan menerima tempahan pelanggan.

Beliau menghasilkan kira-kira 100 biji bagi setiap jenis kuih bulan inti kek lapis setiap hari di kedai miliknya di Lebuh Bishopgate, di sini.

“Setakat ini kira-kira 2,000 biji sudah terjual. Saya jangkakan jumlah akan terus meningkat, berdasarkan kemampuan kedai ini, kami mampu menghasilkan kira-kira 10,000 biji kuih bulan isi kek lapis bagi setiap jenis,” katanya.

Sebagai pengusaha kek lapis sejak 26 tahun, Maria berbangga dapat menghasilkan sesuatu yang istimewa pada sambutan perayaan tahun ini.

“Sebenarnya semasa mula buat kuih bulan kek lapis ini, saya sendiri kagum melihatnya cantik rasa special pula, saya tidak katakan kuih bulan isi kek lapis saya ini terbaik, kuih tradisional tetap memiliki kelebihannya. Sempena perayaan tahun ini saya akan buat yang terbaik, sediakan stok lagi supaya lebih ramai pelanggan dapat mencubanya,” katanya.