Lihat dulu cara hukuman baru kecam, Terengganu beritahu pengkritik

Satiful Bahari Mamat berkata pengkritik membuat andaian berdasarkan undang-undang sivil.

PETALING JAYA: Kerajaan Terengganu mempertahankan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah negeri itu mengenakan hukuman sebat di khalayak ramai terhadap pasangan lesbian, walaupun dikecam hebat.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri Satiful Bahari Mamat berkata, mereka yang membuat kritikan sepatutnya menyaksikan terlebih dahulu bentuk dan cara hukuman itu dijalankan sebelum membuat kritikan kerana ia tidak sama sepertimana hukuman sebatan Mahkamah Sivil yang jauh lebih keras.

“Mereka yang membuat kritikan itu mungkin tidak faham dan tidak lihat dengan mata mereka sendiri cara hukuman tetapi membuat andaian berdasarkan undang-undang sivil.

“Hukuman Sivil lebih keras, sebab itu dibuat dalam penjara dan ditelanjangkan, tetapi undang-undang syariah Islam tidak macam itu. Pesalah dihukum menutup aurat, sambil duduk dan cara pukul bukan keras kerana tujuan hanya mendidik,” katanya kepada FMT.

Terdahulu aktivis Islam menganggap Malaysia melalui “hari gelap” bagi perjuangan hak asasi manusia apabila pasangan kekasih itu dikenakan 6 sebatan selepas mereka mengaku bersalah cuba melakukan hubungan seks sejenis.

Pengarah Islamic Renaissance Front (IRF), Datuk Ahmad Farouk Musa berkata tindakan itu jelas tidak berperikemanusiaan dan ia satu bentuk penghinaan.

“Pada masa Malaysia ingin dikenali sebagai sebuah kerajaan moden, sivil, dan sederhana, episod hari ini memberi gambaran hitam kepada negara kita.

“Walaupun hukuman sebat hari ini berlaku di negeri yang tidak ditadbir oleh Kerajaan Persekutuan, undang-undang menjatuhkan maruah ini tidak sepatutnya dibenarkan di negara ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Satiful menyifatkan kritikan Farouk sebagai menghina mahkamah.

“Apa yang diputuskan hakim itu berdasarkan undang-undang sedia ada, bukan kerana kerajaan negeri bertukar kita laksanakan, hukuman itu dibuat pihak mahkamah dan semua kena tahu kuasa kerajaan dan kehakiman berbeza. Mahkamah yang putuskan.

Katanya, kes seumpama itu di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah yang boleh dijatuhkan hukuman 3 tahun penjara, denda RM5,000 dan 6 kali sebatan bukan pertama kali berlaku kerana ia dilaksanakan juga di negeri lain termasuk di Sabah dan Pahang.

“Sebelum ini kes sama berlaku di Tawau, isu melibatkan Kartika Sari Dewi Shukarnor di Pahang, cuma hukuman sebat tidak dilaksanakan, jadi ia bukan di Terengganu sahaja,” katanya.

Satiful menambah, ramai masyarakat keliru, di mana hukuman itu sebenarnya dibuat bukan secara paksa sebaliknya selepas pesalah mengaku bersalah dan setuju untuk dihukum.

“Kes ini bukan disabitkan dengan saksi tetapi pengakuan mereka sendiri dan mereka tahu hukuman yang disabitkan.

“Mereka juga diberi tempoh merayu dan mereka tidak berbuat demikian. Dalam Islam jelas keutamaan memberi ruang kepada pesalah bertaubat, beri peluang kepada mereka bela diri selepas mereka sendiri mengaku salah, baru kita hukum, bukannya hukum secara paksa.”

Mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mujahid Yusof Rawa bahawa kehadiran orang awam sewaktu proses sebatan perlu dilihat semula, Satiful berkata, cara tersebut selaras dengan apa yang disebut dalam Al-Quran dan bukan dibuat sesuka hati.

“Beliau (Mujahid) sebut nak melihat kepada kajian bagi penyaksian orang ramai, tapi sebenarnya itu tertulis dalam Al-Quran, yang menyebut hukuman itu hendaklah disaksikan orang ramai bagi tujuan pengajaran,” katanya.

Semalam kira-kira 100 orang khalayak umum menyaksikan pasangan itu masing-masing berumur 22 dan 32 tahun dihukum sebat di Mahkamah Syariah Kuala Terengganu.

Hukuman sebat di khalayak umum itu adalah pertama kali dilakukan di negeri ini yang dilaksanakan oleh Jabatan Penjara Malaysia di dalam Dewan 2 Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu.