Mat Sabu: Boleh tambah parti lain, tapi jangan ‘bercerai’

Mat Sabu perkata faktor utama kemenangan PH pada PRU14 adalah disebabkan gabungan PKR, DAP, Amanah dan PPBM.

SHAH ALAM: Parti komponen di bawah Pakatan Harapan (PH) diingatkan supaya tidak berbalah sesama sendiri sehingga menimbulkan pelbagai masalah seperti perpecahan dan “perceraian”, kata Timbalan Presiden PH Mohamad Sabu.

Presiden Amanah itu berkata setiap parti sudah tentu mempunyai pandangan serta pendapat berbeza, namun perkara itu tidak seharusnya menjadi punca “perceraian” antara mereka.

Beliau menarik perhatian faktor utama kemenangan PH pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), 9 Mei lepas menumbangkan Barisan Nasional (BN) adalah disebabkan gabungan antara PKR, DAP, Amanah dan PPBM.

“Kalau tambah parti lain, tidak mengapa tetapi jangan (berbeza pendapat) hingga kita semua bercerai.

“PAS pun tahu gabungan ini penting sebab itu sekarang mereka bergabung dengan Umno,” katanya ketika berucap pada ceramah PH bagi PRK DUN Seri Setia, malam tadi.

Dalam perkembangan lain, Mohamad yang juga menteri pertahanan berkata pelantikan seorang anggota pembangkang sebagai pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) merupakan satu perubahan besar yang dilaksanakan kerajaan PH dalam usaha mengubah cara pentadbiran negara.

“Jika kami tidak betul, pembangkang yang akan dedahkan,” katanya.