Menteri beri amaran kontraktor henti budaya rasuah, hulur komisen

Khalid Abdul Samad menolak khabar angin mengatakan DBKL tidak akan membayar kontraktor dianggap kroni kepada parti pemerintah terdahulu.

KUALA LUMPUR: Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad mahu persepsi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebagai lubuk rasuah untuk kontraktor mendapatkan projek, dihentikan segera.

Beliau berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana kontraktor yang terlibat dengan gejala itu, termasuk budaya menghulur sogokan, suapan serta komisen, sebaliknya beliau mahu golongan itu mengutamakan profesionalisme dalam menjalankan tanggungjawab.

“Sekiranya ada pegawai DBKL meminta rasuah daripada kontraktor, sila maklumkan. Saya ingin buang persepsi orang awam yang melabelkan DBKL sinonim dengan rasuah,” katanya pada sesi perjumpaan dengan lebih 700 kontraktor utama penyelenggaraan DBKL di Institut Latihan DBKL, hari ini.

Khalid menolak khabar angin mengatakan DBKL tidak akan membayar kontraktor dianggap kroni kepada parti pemerintah terdahulu.

“Khabar angin itu bertujuan mensabotaj kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan DBKL, semua perjanjian akan dihormati. Pentadbiran baru PH kita tidak bertindak mengikut perasaan dan emosi parti atau politik kepartian.

“Sekiranya tuan-tuan dan puan-puan (kontraktor) membuat kerja, tuan-tuan dan puan-puan berhak menerima bayaran, sama ada Umno ke, PAS ke, saya tidak kisah yang penting tunaikan tanggungjawab,” katanya.

Ahli Parlimen Shah Alam itu mahu setiap kontraktor menjalin hubungan baik dengan ahli Parlimen supaya setiap aduan dapat ditangani segera.

Beliau berkata, DBKL membelanjakan hampir RM500 juta setiap tahun untuk membayar semua kontraktor yang dilantik serta aduan tertinggi diterima pada 2017 dan tahun ini ialah jalan berlubang, diikuti lampu jalan rosak, selain masalah penyelenggaraan.