Pencari suaka muda Afghanistan bunuh gadis di Jerman

Semasa sesi prosiding tertutup, pihak pendakwaan meminta mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap tertuduh. (Gambar Reuters)

BERLIN: Pencari suaka muda dari Afghanistan, Abdul D, bakal meringkuk selama 8 tahun 6 bulan dalam penjara selepas didapati bersalah membunuh bekas teman wanitanya yang berusia 15 tahun di pekan Kandel di barat Jerman, lapor agensi berita China Xinhua.

Mahkamah Wilayah Landau pada Isnin mensabitkan Abdul D dengan kesalahan membunuh Mia, seorang penduduk tempatan, beberapa hari selepas Krismas pada Disember 2017 sebagai hukuman kerana berpisah dengan suspek sebelum itu.

Sejurus sebelum insiden maut itu, yang berlaku dalam sebuah kedai ubat, Mia dan ayahnya membuat laporan polis terhadap Abdul D berhubung dakwaan memfitnah, mengenakan tekanan serta melakukan ugutan selain melanggar privasi mangsa.

Orang ramai tidak dibenarkan mengikuti prosiding mahkamah yang berlangsung selama 8 bulan di bawah undang-undang jenayah juvana kerana umur sebenar suspek tidak diketahui.

Pencari suaka dari Afghanistan itu sendiri mengaku berusia 15 tahun dan kemudian dianggap sebagai remaja bawah umur yang tidak ditemani sesiapa ketika dia tiba di Jerman.

Bagaimanapun, satu penilaian yang dilakukan pihak pendakwaan selepas itu merumuskan Abdul D berusia sekurang-kurangnya 17.5 tahun dan mungkin juga dalam lingkungan umur 20 tahun.

Akibatnya, kes itu mencetuskan satu perdebatan umum yang hangat dan berterusan sama ada polisi suaka Jerman serta prosedur spesifik, yang menyaksikan pihak berkuasa menentukan umur pencari suaka muda semasa ketibaan ke negara itu, masih sesuai.

Kumpulan anti-imigran “Kandel is everywhere” ditubuh sebagai respons terhadap kematian Mia untuk menarik perhatian kepada ancaman yang didakwa ditimbulkan oleh pencari suaka terhadap populasi asli Jerman secara am dan menarik sejumlah 4,000 penunjuk perasaan ke perhimpunan pertamanya.

Insiden Kandel itu turut dirujuk oleh penunjuk perasaan berhaluan paling kanan semasa demonstrasi ganas yang mendapat publisiti meluas baru-baru ini di Chemnitz selepas seorang rakyat Jerman berusia 35 tahun meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami dalam satu insiden serangan menggunakan sebilah pisau membabitkan seorang rakyat Iraq dan seorang rakyat Syria.

Mahkamah Landau turut mengesahkan pada Isnin ia mencapai keputusan itu berdasarkan undang-undang jenayah juvana bagi kesalahan membunuh dan menyerang.

Semasa sesi prosiding yang dijalankan secara tertutup, pihak pendakwaan dilaporkan meminta mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atas Abdul D.