PM janji kembalikan kegemilangan negara dengan konsep Malaysia Inc

Dr Mahathir Mohamad yakin kerajaan dan sektor swasta boleh bekerjasama rapat.

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berjanji kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan mengembalikan kegemilangan negara dengan konsep Malaysia Incorporated (Malaysia Inc) di mana negara akan dilihat sebagai satu perbadanan besar.

“(Di bawah konsep ini) negara dianggap sebagai satu operasi besar dan kerajaan serta sektor swasta bekerjasama untuk menjana keuntungan untuk perbadanan nasional ini.

“Dari sini, kita akan mempunyai wang untuk menyokong industri, untuk menyokong rakyat dan menyediakan tadbir urus yang baik,” katanya ketika pelancaran Persidangan dan Pameran Glove Rubber International ke-9 di Kuala Lumpur Convention Centre, hari ini.

Konsep Malaysia Inc mula diperkenalkan pada 1983 sebagai satu strategi perindustrian untuk menjalin hubungan simbiotik dan perkongsian antara sektor awam dan swasta.

Idea itu diambil dari model pembangunan ekonomi Jepun untuk menjalin perkongsian awam-swasta dan mensasarkan pelaburan negeri.

Dr Mahathir berkata kerajaan menggalakkan perniagaan dan mempercayai konsep Malaysia Inc.

“Kami percaya kerajaan dan sektor swasta boleh bekerjasama rapat,” katanya sambil menambah ia bukanlah altruistik kerajaan untuk membantu sektor swasta.

“Jika kami membantu anda menghasilkan lebih banyak wang, ia kerana 26% daripada keuntungan anda milik kerajaan untuk menyediakan perkhidmatan.”

Beliau juga memuji Malaysia yang memainkan peranan dalam industri getah, mengatakan negara ini kini sinonim dengan getah.

“Bukan getah itu yang penting tetapi aplikasinya,” kata beliau dengan memberikan contoh sarung tangan pembedahan dan struktur bangunan di kawasan terjadinya gempa bumi.

Sambil berseloroh, beliau juga berkata getah merupakan komponen penting dalam kawalan kelahiran.

“Bayangkan dunia tanpa kondom. Jika populasi kini 7 bilion, (tanpa kondom) ia boleh jadi 10 bilion.

“Sekali lagi, getah melakukan tugas yang besar untuk manusia,” katanya.