PRK Balakong catat pengundian awal terkecil hanya 28 orang

Pengundian awal itu hanya melibatkan 31 pengundi berdaftar. (Gambar Bernama)

SERI KEMBANGAN: Seramai 28 daripada 31 pegawai dan anggota polis yang bertugas pada pilihan raya kecil (PRK) DUN Balakong, selesai mengundi di pusat pengundian awal di kuarters Balai Polis Seri Kembangan, kira-kira pukul 9.15 pagi ini.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pengundian itu dalam jumlah terkecil, dengan hanya melibatkan 31 pengundi berdaftar.

Semua mereka yang mula mengundi sebaik pusat pengundian dibuka pukul 8.00 pagi adalah sebahagian daripada keseluruhan 62,219 pengundi berdaftar yang layak mengundi pada PRK Balakong.

SPR juga memaklumkan pusat pengundian berkenaan akan tetap ditutup pada pukul 12 tengah hari ini seperti yang ditetapkan sebelum ini.

Menurut sumber pula, 3 lagi pengundi awal tidak mengundi kerana difahamkan telah tamat tempoh perkhidmatan dan berdepan masalah disiplin.

Turut meninjau pusat pengundian berkenaan sebaik ia dibuka ialah Ketua Polis Daerah Kajang ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yussof dan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia Tan Sri Othman Mahmood.

Selain itu, kedua-dua calon bertanding iaitu calon MCA Tan Chee Teong dan Pakatan Harapan Wong Siew Ki turut hadir melihat perjalanan pusat pengundian.

Dalam pada itu, Othman berkata proses undi awal di PRK DUN Balakong hari ini berjalan lancar kerana ia membabitkan antara jumlah pengundian dan jumlah pengundi berdaftar terkecil.

Beliau turut menyatakan harapannya agar peratusan pergi mengundi bagi PRK DUN Balakong dan Seri Setia adalah lebih baik daripada PRK DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos lepas.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pengundi di DUN Balakong dan Seri Setia supaya pergi menunaikan tanggungjawab mereka pada Sabtu ini.

“Dari aspek keselamatan, tiada masalah dan kita jamin segalanya lancar dan selamat kerana polis sentiasa bersedia 24 jam untuk memastikan kelancaran PRK ini,” katanya kepada pemberita, hari ini.

PRK berkenaan yang diadakan berikutan kematian penyandangnya Eddie Ng Tien Chie dalam satu kemalangan jalan raya 20 Julai lepas menyaksikan persaingan 2 penjuru antara Tan dan Wong.

Pada PRU14, Ng menewaskan calon Barisan Nasional, Lim Chin Wah dan Mohamad Ibrahim Ghazali (PAS), dengan majoriti 35,538 undi.