Selangor akan agih peruntukan RM200,000 kepada Adun BN

Amirudin Shari berkata, Selangor ialah negeri pertama yang memberikan peruntukan RM200,000 kepada Adun pembangkang. (Gambar Bernama)

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berjanji akan meneruskan dasar pengagihan peruntukan RM200,000 kepada semua wakil rakyat pembangkang, termasuk Barisan Nasional (BN) untuk membantu rakyat setempat.

“Sebelum ini, kita adalah negeri pertama yang memberikan peruntukan itu yang saya rasa paling tinggi, iaitu RM200,000 (setahun).

“Kita akan beri sekiranya mereka mahu menerima peruntukan itu kerana ini polisi kita dan saya harap selepas peruntukan ini diberi, mereka gunakan sepertimana yang ditetapkan dan kita akan mengaudit semua Adun kerajaan dan pembangkang,” katanya di lobi Dewan Undangan Negeri Selangor, hari ini.

Ketua Pembangkang Selangor yang baru, Rizam Ismail berkata, Adun BN akan menerima peruntukan RM200,000 itu kerana landskap politik banyak berubah selepas pilihan raya umum ke-14.

“Hari ini, secara keseluruhan kerajaan persekutuan dan negeri diperintah oleh Pakatan Harapan.

“…pembangkang juga perlu ada fasiliti untuk memastikan perjalanan pentadbiran seperti yang diharapkan.”

Semua Adun BN Selangor menolak peruntukan RM200,000 setahun daripada kerajaan negeri sejak 4 tahun lalu dengan alasan kerajaan negeri tidak ikhlas kerana Adun kerajaan mendapat peruntukan RM700,000 setahun.

Mengenai jawatan pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC) Selangor, Rizam berkata, beliau akan menerima jawatan itu untuk mengimbangi kerajaan negeri.

Amirudin berkata, pihaknya sedia memberi jawatan itu kepada Rizam kerana peraturan DUN Selangor, jawatan itu secara automatik dipegang ketua pembangkang.

“Kalau beliau bersetuju, sila ambil dan sila laksanakan. Kita utamakan janji kita dan kita berikan kepada mereka (jawatan itu).”

Adun Sekinchan, Ng Suee Lim daripada DAP dilantik sebagai pemangku pengerusi PAC selepas Ketua Pembangkang ketika itu, Datuk Mohd Shamsuddin Lias meletak jawatan pada Disember 2014.